Kucing Diser*t Lelaki Kejam Sudah Diselamatkan, Polis Sudah Terima Laporan

Entertainment
25 Nov 2024 • 10:50 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hujung minggu lalu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki bertindak kejam, di mana dia menarik kucing yang dipakaikan tali cawak (leash) dengan begitu kasar sehingga haiwan itu menjadi lemah longlai.

Perkara itu menimbulkan kemarahan netizen dan semalam haiwan malang itu difahamkan telah pun diselamatkan.

Setakat artikel ini ditulis, pelaku tersebut masih belum ditangkap namun polis mengesahkan menerima laporan berkenaan insiden itu.

Menurut laporan Astro AWANI, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang individu pada jam 5.26 petang selepas kejadian itu tular.

“Kita serahkan laporan polis dan visual TikTok kes ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, Rusdi memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 29(1) E Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, video berdurasi 14 saat itu tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai, video itu dipercayai dirakamkan di Scott Garden Soho, Kuala Lumpur.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.