Kucing Jalanan Menggigil Dikejar Anjing, Tindakan Spontan Pasangan Ini Menyentuh Hati Netizen

21 Jan 2026 • 4:12 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kadang-kadang, Allah hadirkan kita di sesuatu tempat bukan tanpa sebab. Ada waktunya, langkah kecil yang kita ambil, walaupun sekadar keluar membeli barang pada lewat malam  menjadi asbab untuk menyelamatkan satu nyawa yang tidak mampu bersuara. Kisah inilah yang menyentuh hati ramai, apabila satu perjalanan biasa bertukar menjadi detik penuh makna buat seekor kucing jalanan yang hampir menjadi mangsa.

Satu perkongsian tular di Threads benar-benar menyentuh perasaan ramai apabila seorang wanita, @kakajmldn, berkongsi pengalaman cemas menyelamatkan seekor kucing jalanan yang hampir diserang sekumpulan anjing liar.

Menurut perkongsiannya, kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi ketika dia dan suaminya keluar menuju ke FamilyMart. Tanpa disangka, dia ternampak kira-kira 10 ekor anjing liar sedang mengejar seekor kucing kecil.

“Kesian gila… i terus bagitau husb, dan husb drive ke arah anjing-anjing tu untuk halau dorang,” tulisnya.

Kucing Menggigil Ketakutan Atas Tembok

Kucing tersebut dilihat berlindung di atas tembok besi dalam keadaan badan menggigil teruk. Lebih menyayat hati, kucing itu mencengkam kuat tembok berkenaan kerana terlalu takut, seolah-olah tahu nyawanya sedang terancam.

Rakaman video yang dikongsikan turut memperdengarkan suara kucing tersebut yang perlahan dan sayu. Detik itu membuatkan ramai netizen mengakui hati mereka tersentuh, malah ada yang menyifatkan bunyi tersebut seolah-olah kucing itu sedang “mengadu ketakutan” dan berterima kasih kerana diselamatkan.

Wanita itu turut percaya kejadian tersebut bukanlah satu kebetulan.

“Mungkin Allah gerakkan hati kitorang untuk pergi FamilyMart tu sebab nak selamatkan kucing ni. Nasib baik tak kena gigit.”

Tidak Dibawa Pulang, Namun Selamat

Menjawab pertanyaan netizen, dia menjelaskan bahawa kucing berkenaan tidak dibawa pulang. Sebaik sahaja pintu kereta dibuka, kucing itu terus melarikan diri. Namun begitu, keadaan sudah selamat apabila anjing-anjing tersebut tidak lagi berada di kawasan berkenaan.

“Anjing tu pergi jalan A, kucing ni lari ke jalan B. Gitu,” jelasnya.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi emosi daripada netizen yang rata-ratanya memuji keprihatinan pasangan berkenaan. Ada yang meluahkan rasa sebak mendengar suara kucing tersebut, ada juga yang mengucapkan terima kasih kerana berada di “masa dan tempat yang tepat” untuk menyelamatkan seekor nyawa.

Malah, segelintir netizen turut menyedari kucing itu dipercayai berwarna calico, sejenis kucing yang sinonim dengan sifat manja, sekali gus menambah rasa sayu dalam kalangan pencinta haiwan. Rata-rata mendoakan agar pasangan tersebut dibalas dengan kebaikan atas tindakan ikhlas mereka.

Kisah ringkas ini menjadi peringatan bahawa keprihatinan dan tindakan pantas mampu menyelamatkan satu nyawa. Kadang-kadang, kebaikan kecil yang kita lakukan tanpa disangka, itulah yang paling besar nilainya. – The Malaysian Update

The post Kucing Jalanan Menggigil Dikejar Anjing, Tindakan Spontan Pasangan Ini Menyentuh Hati Netizen appeared first on The Malaysian Update.