Kucing Pun Boleh Nyanyuk! Proses Semulajadi Sama Seperti Manusia – Kajian

Health & FitnessPets
15 Aug 2025 • 6:16 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kucing merupakan makhluk yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Dengan penjagaan yang bagus, terdapat kucing peliharaan yang boleh hidup amat lama malah sehingga mencecah belasan tahun.

Namun ini bermakna si bulus juga akan terdedah dengan masalah kesihatan yang dikaitkan dengan usia tua apabila umurnya semakin lanjut.

Kucing Tua Juga Boleh Menjadi Nyanyuk

Mungkin tidak diketahui secara umum, namun kucing tua juga sebenarnya boleh menjadi nyanyuk sama seperti manusia!

Perkara itu telah dijelaskan oleh Pakar Kesihatan Mental Amirul Ramli menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya (@amirul.ramli).

Katanya, antara tanda-tanda kucing sudah mula nyanyuk adalah:

  • Sering mengiau tanpa sebab.
  • Kelihatan bingung.
  • Banyak tidur yang disebabkan oleh masalah pada kitaran.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

Proses Demensia Kucing Hampir Sama Dengan Manusia

Menerangkan lebih lanjut, Amirul berkata proses semula jadi yang membawa kepada masalah demensia dalam kucing adalah tidak jauh beza dengan yang dialami oleh manusia.

Jelasnya, imbasan MRI yang dijalankan ke atas otak kucing menunjukkan komponen beta amiloid yang terkumpul.

Menurut Amirul, komponen ini dihasilkan oleh otak setiap hari dan akan disingkirkan ketika sedang tidur.

Untuk info, beta amiloid merupakan sejenis protein bertoksik dan salah satu ciri-ciri yang menentukan penyakit Alzheimer.

Penemuan Bantu Rawatan Buat Manusia & Kucing Dengan Demensia

Terdahulu, satu kajian telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari University of Edinburgh ke atas 25 ekor kucing yang mempunyai simptom demensia.

Kelihatan beta amiloid terkumpul pada bahagian sinaps otak, seterusnya menyebabkan memori dan kebolehan berfikir semakin berkurangan.

Para penyelidik merasakan dapatan ini bukan hanya dapat membantu dalam mencari rawatan terbaik buat manusia, tetapi buat si bulus sendiri juga.

“Penemuan kami menunjukkan persamaan yang jelas antara demensia kucing dan penyakit Alzheimer dalam manusia.

“Ini memberi ruang untuk meneroka sama ada rawatan baharu untuk manusia juga boleh membantu haiwan peliharaan kita yang semakin menua,” kata ketua penyelidik, Dr Robert McGeachan.

Tidur Berkualiti Penting Untuk Singkirkan Toksin Beta Amiloid

Dalam masa sama, Amirul mengambil kesempatan untuk mengaitkan masalah pengumpulan beta amiloid di dalam otak kucing dengan manusia.

Memandangkan beta amiloid hanya akan disingkirkan sewaktu tidur, dia menjelaskan bahawa tidur yang tidak berkualiti akan menyebabkan toksin itu terkumpul di dalam otak.

“Tapi anda bukan kisah pun. Anda main game, layan anime sampai subuh. Bila tidur tak berkualiti, neurotoksin terkumpul dalam otak. Sampai masanya, tinggi risiko nyanyuk,” katanya secara menyindir.

Tonton video penuh [DI SINI].

Ini Tanda-Tanda Kucing Alami Demensia

Berdasarkan artikel di laman web PetMD, masalah demensia dialami oleh kucing tua tidak kira baka, yang memberi kesan terhadap memori, pemikiran dan tingkah laku mereka.

Lebih daripada suku kucing berusia antara 11 ke 14 tahun menunjukkan sekurang-kurangnya satu tanda demensia, manakala separuh kucing berumur lebih 15 tahun mempunyai simptom disfungsi kognitif.

Selain simptom yang dijelaskan di atas, antara tanda-tanda kucing mengalami demensia adalah:

  • Termenung menghadap dinding.
  • Lupa makan atau minum jika tidak ditunjukkan kepada mereka.
  • Lupa bahawa mereka baru sahaja makan dan meminta makanan lagi.
  • Membuang air di luar litterbox.
  • Kurang membersihkan diri.
  • Kitaran tidur berubah iaitu terjaga dan aktif di tengah malam.
  • Interaksi yang luar biasa dengan keluarga seperti menjadi semakin manja, reaktif mahupun berjauhan.

Demensia bukanlah satu keadaan perubatan yang berbahaya, namun bawa kucing ke veterinar jika menunjukkan tanda lain seperti muntah, terlalu lemah atau tiada selera makan.

image is not available
Sumber gambar: Canva

Demensia Kucing Tak Boleh Sembuh, Perlu Bantu Kurangkan Stres Si Bulus

Sama seperti manusia, masalah demensia pada kucing juga tidak boleh disembuhkan sepenuhnya.

Namun terdapat perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stres yang dihadapi si bulus, antaranya:

  • Pastikan kucing tua senang untuk akses keperluan asas seperti makanan, minuman dan litterbox.
  • Lakukan aktiviti pengayaan (enrichment), namun elakkan perubahan ketara yang boleh membuatkan kucing semakin stres.
  • Mengikut nasihat doktor, berikan kucing ubat-ubatan atau suplemen yang boleh membantu kucing.
  • Lakukan sebarang perubahan secara perlahan-lahan kerana kucing mungkin berasa gelisah. Sebagai contoh, jika menggantikan mangkuk makanan, simpan juga mangkuk yang lama.

Menurut PetMD, tiada kaedah yang jelas bagi mengelakkan demensia dalam kucing, namun simptom boleh dilewatkan dengan memastikan otak si bulus lebih tajam.

Seperti yang disarankan pada manusia, pemilik kucing perlu memberi si bulus aktiviti yang dapat mengaktifkan otak mereka seperti treat puzzle dan treat ball.

Kucing juga perlu dibiarkan bersenam atau aktif agar dapat membawa kebaikan kepada minda, sendi dan kesejahteraan mereka.

Jika kucing tidak dibenarkan keluar rumah, pastikan mereka sekurang-kurangnya dapat melihat dunia luar menerusi tingkap.

image is not available
Sumber gambar: Unsplash

Source: