
KUALA LUMPUR: Pendekatan diambil Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dalam berdakwah perlu dijadikan sebagai contoh terutama dalam usaha mendekatkan dan menyemai ajaran agama Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan Maulidur Rasul memerlukan penghayatan yang lebih bermakna dan mencontohi semangat Rasulullah dalam melakukan perubahan transformasi sosial serta reformasi.
Memetik karya Ibnu Batutah mengenai sang pengembara hebat, beliau berkata, masyarakat Islam mempunyai sikap toleransi, kebijaksanaan dan hikmah yang luar biasa.
Katanya, karya itu turut menegaskan bahawa sekiranya agama Islam dibawa dengan cara yang terlalu keras maka dibimbangi pengaruh agama itu tidak akan berkembang.
“Sebab itu, tokoh-tokoh besar dulu lebih berjaya dalam menarik orang kepada Islam. Bayangkan, dakwah kita dan pergerakan kita sekarang, orang lebih takut dan tidak tertarik dengan Islam.
“Beda dengan apa yang kita sebut tadi. Kita sebut Rasulullah SAW itu contoh terbaik, tapi dalam menghayatinya, tidak semestinya tuntas atau konsisten dengan mesej. Ini teguran kepada kita masing-masing. Bagaimana boleh kita perbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.
Anwar berkata, ada ketika terdapat kumpulan masyarakat yang bukan sahaja tidak mahu menerima Islam tetapi turut cemas dengan nadanya.
“Masalahnya bukan pada orang lain, masalah juga pada kita. Kita biasa dan kita tahu tentang sanggahan dan pertentangan musuh-musuh dari awal, bukan baru.
“Seluruh sejarah imperialisme dan kolonialisme, penjajahan. Dari penjajahan Inggeris di Malaysia, Belanda di Indonesia, Perancis di Afrika Utara, di seluruh dunia.
“Itu menampakkan apa? Sikap yang keras menolak akidah kita, akhlak kita, menjajah pemikiran dan jiwa kita,” katanya.
Mengenai sambutan tersebut, Anwar berkata, ia adalah untuk menyuntik semangat baharu dan bukan mengekalkan kealpaan lama.
“Obor Islam itu sentiasa obor yang dinamik dan hidup, setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan.
“Tentunya ramai yang lain yang boleh mengolah lebih baik daripada saya, tetapi sekadar mengingatkan kita bahawa sambutan ini hanya bermakna kalau ia memberi suntikan semangat dan kesedaran, pencerahan dan kita mampu selepas hari ini menjadi manusia Muslimun Hakikiyun yang jauh lebih baik dan boleh mampu memberikan contoh yang terbaik kepada umat manusia,” katanya. – UTUSAN
The post Contohi pendekatan dakwah Rasulullah – PM appeared first on Utusan Malaysia.






