
PETALING JAYA – Mana-mana pihak perlu mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan sekiranya tidak mahu sesebuah premis termasuk rumah ibadat dikenakan tindakan perobohan.
Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa, Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle berkata, tindakan merobohkan sebuah kuil di Perlis, dipercayai dilakukan kerana premis berkenaan tidak memenuhi peraturan ditetapkan.
“Negara ini ada undang-undang. Kuil yang dirobohkan di Perlis itu saya percaya kerana tidak menepati peraturan.
“Jika tidak mahu dirobohkan, ikutlah peraturan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengutuk tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.
Dalam kenyataan bertarikh 20 Ogos lalu, Rayer menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku selain mendakwa ia menimbulkan rasa tidak puas hati, kemarahan dan kegusaran khususnya dalam kalangan masyarakat beragama Hindu.
Rayer turut berpandangan sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan dilakukan pihak kuil, kerajaan negeri sepatutnya mengambil pendekatan lebih berhemah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Jika pun terdapat apa-apa ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pihak kuil ini, sebagai sebuah kerajaan negeri satu cara atau pendekatan yang lebih berhemah patut diambil untuk menyelesaikan masalah Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.
“Tindakan merobohkan kuil tersebut bukanlah satu penyelesaian dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati, marah dan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Hindu,” katanya.
Dalam pada itu, Rozaimi turut mempersoalkan tindakan Rayer yang mengehadkan ruangan komen pada hantaran kenyataan media berkenaan.
“Wahai YB, ada satu benda di sini yang tidak salah dari sudut peraturan dan undang-undang iaitu buka ruang komen di Facebook anda.
“Kenapa perlu ‘dirobohkan ruang’ komentar rakyat terhadap posting YB ini?” soalnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kuil tak dirobohkan kalau ikut peraturan – Rozaimi appeared first on Kosmo Digital.






