
KANGAR: Jawatankuasa rumah ibadat di sekitar negeri ini yang melakukan pembinaan secara haram dinasihat berunding terus dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu itu.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, di sini dilakukan bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang sekiranya pembinaan kuil dan rumah ibadat mengikut syarat ditetapkan malah pelaksanaan perobohan itu juga sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak agar dapat mematuhi peruntukan undang-undang dan keputusan mahkamah.
“Ikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini namun agama lain juga masih boleh dianuti secara aman. Dalam keadaan hari ini, kita tak halang sekiranya pembinaan kuil itu mematuhi syarat dan tempat sesuai, jadi saya rasa kerajaan negeri telah bertindak untuk selesaikan isu-isu pembinaan kuil di luar kawasan dibenarkan.
“Pencerobohan kuil itu dah lama berlaku dan bila kita bagi notis sebelum ini, mereka masih gagal untuk berpindah,” katanya ketika ditemui selepas Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall, di sini, hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam satu kenyataan media mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan.
Menerusi kenyataan itu, Rayer mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa insiden sedemikian tidak berlaku di bawah negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Abu Bakar berkata, pihak kuil atau mana-mana jawatankuasa rumah ibadat di negeri ini seharusnya berunding secara terus terang dengan kerajaan negeri sekiranya melakukan pembinaan secara haram.
“Kita tak mahu perkara ini berlaku, kita boleh bagi tempoh untuk lanjutkan tindakan tapi sampai bila ?. Saya bagi gambaran ini supaya semua pihak dapat berhenti membina rumah ibadat di tempat-tempat tak dibenarkan,” katanya.
Katanya, selain kuil tersebut, terdapat beberapa rumah ibadat lain sekitar Kuala Perlis, Padang Besar dan beberapa lagi dikesan dibina di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Saya harap isu ini jadi iktibar bukan sahaja di Perlis tapi negeri-negeri lain di mana pembinaan rumah ibadat perlu dapat kelulusan mengikut proses undang-undang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN
The post Roboh kuil selesai isu pembinaan rumah ibadat tak ikut syarat: MB Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






