Kumpulan ajaran sesat jadikan Negeri Sembilan tempat persinggahan - Aminuddin

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aminuddin

SEREMBAN - Kedudukan Negeri Sembilan yang menghubungkan laluan dari Selatan, Timur, Barat dan Utara Semenanjung Malaysia menjadikan negeri ini sebagai tempat persinggahan oleh kumpulan ajaran sesat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, laluannya yang strategik menjadikannya sebagai pilihan oleh kumpulan ini selepas difatwakan sesat di negeri lain.

"Penyebaran ajaran sesat di Negeri Sembilan terus dipantau secara aktif oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Sejak tahun 2020 hingga kini, beberapa ajaran sesat telah dikesan aktif di negeri ini dengan aktiviti penyebaran biasanya dijalankan secara tertutup dan menyasarkan individu yang lemah asas pengetahuan agama," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, ajaran-ajaran ini tumpuannya bukan di Negeri Sembilan semata-mata.

Tambah beliau, Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah memfatwakan beberapa ajaran sebagai sesat termasuk Golongan Anti Hadis, Tapediri 65 (Ba Tha Mim 114), Hizbut Tahrir,perbomohan Ibrahim Mat Zin, Zikir Alunan Zat Cinta/Hikmah Al-Fatihah dan Millah Abraham.

"Dalam pemantauan pula adalah ajaran seperti Millah Abraham (diasaskan Ahmad Musadeq), ajaran Cahaya, Ahmadi The Religion serta aktiviti tilik nasib dikesan di beberapa daerah seperti Tampin, Kuala Pilah dan Seremban yang kebanyakannya tersebar secara tertutup dalam kalangan keluarga atau kenalan.

"Individu terlibat telah pun disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah dan dikenakan denda serta penjara,"katanya.

Aminuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam berkata, setakat ini, sebanyak 12 kes telah dipanjangkan untuk pendakwaan.

"Dua kes Hizbut Tahrir dan GISB Holding Sdn Bhd(GISBH) Kuala Pilah dilepas dan dibebaskan, manakala dua kes Asmaul Husna Wan Maseri dan GISBH Rembau masih dalam perbicaraan.

"Selain itu, lapan kes iaitu dua kes Millah Abraham di Tampin, satu kes Ahmadi The Religion di Seremban, dua kes Tilik Nasib di Seremban, satu kes Imam Mahdi di Seremban dan dua kes Ajaran Cahaya di Kuala Pilah telah disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman," katanya.

Selain itu ujar Aminuddin, dalam usaha memulihkan pengikut ajaran sesat, JHEAINS telah menjalankan program advokasi dan bimbingan akidah bagi memastikan mereka kembali kepada pegangan Islam sebenar berdasarkan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Menurutnya, program berkenaan turut disasarkan kepada ahli keluarga pengikut ajaran sesat bagi memastikan pemahaman agama yang betul dapat dipulihkan dan penyebaran ajaran sesat dapat dibendung pada masa hadapan.

"Sehingga kini lebih 300 orang telah mengikuti program bimbingan dan advokasi yang dijalankan oleh JHEAINS.

"Pada masa sama, peranan masyarakat juga penting dalam menangani ajaran sesat ini bersama JHEAINS dan orang ramai diminta melaporkan sebarang dakyah dan penyebaran

ajaran yang meragukan atau bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Waljamaah," katanya.