Kumpulan Kitacon peroleh kontrak RM62.3 juta bina rumah di Kuala Selangor
diyana
03/08/2023 - 18:02
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kumpulan Kitacon Berhad telah menerima kontrak bernilai RM62.3 juta daripada KL-Kepong Country Homes Sdn Bhd untuk projek pembinaan 128 unit rumah di Kuala Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kitacon berkata anak syarikatnya, Kitacon Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) pada 3 Ogos 2023 untuk kerja bangunan utama untuk cadangan pembinaan dan penyiapan yang terletak di Bandar Seri Coalfields, Mukim Ijok.
Projek tersebut melibatkan pembinaan 128 unit rumah kluster dua tingkat, seunit rumah pengawal dan seunit pencawang TNB.
“Kontrak akan bermula pada 4 Ogos 2023 dan akan diselesaikan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan.
“Kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan seterusnya sehingga tamat kontrak,” katanya.
Ini merupakan keempat kumpulan bagi tahun ini dan selepas enam minggu kumpulan itu memperoleh kontrak bernilai 50.3 juta untuk membina 184 unit rumah teres setingkat.
Kumpulan Kitacon merupakan syarikat pembinaan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 Januari 2023.
Saham Kumpulan Kitacon ditutup turun 1 sen atau 1.5% kepada 66 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM330 juta. - DagangNews.com



