Kumpulan penyamun sasar etnik Rohingya tumpas

1 Sep 2026 • 4:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kumpulan penyamun sasar etnik Rohingya tumpas

JITRA – Sekumpulan penjenayah tempatan yang menjadikan warga asing termasuk etnik Rohingya sebagai sasaran samun tumpas selepas polis menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan itu, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, empat suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun itu ditahan di Kodiang, dekat sini; Kangar, Perlis dan Ipoh, Perak.

Katanya, semua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah susulan laporan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 28 tahun yang mendakwa menjadi mangsa samun.

“Lelaki Rohingya itu mendakwa disamun tiga lelaki bertopeng di rumah sewanya di Kampung Kodiang Lama kira-kira pukul 1.30 pagi, 17 Ogos lalu. Dia mendakwa tiga lelaki berpakaian gelap, bertopeng dan memakai sarung tangan mengetuk pintu sebelum menyerang serta mengugutnya menggunakan objek dipercayai pisau,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa diugut supaya menyerahkan barangan berharga termasuk dua rantai leher, cincin, loket, sepasang anting-anting, dua telefon bimbit dan beg duit yang mengandungi kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Mangsa dalam kejadian itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki kanan serta luka pada perut,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil operasi itu, polis berjaya menahan kesemua suspek dan merampas sejumlah barangan dipercayai hasil samun.

Katanya, kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai terlibat dalam 13 kes samun di sekitar Kodiang yang menyasarkan warga asing termasuk etnik Rohingya.

“Namun begitu, hanya seorang mangsa tampil membuat laporan polis dan kita percaya kes samun membabitkan warga asing mungkin lebih banyak berlaku tetapi tidak dilaporkan. Ia berkemungkinan disebabkan beberapa faktor termasuk ketakutan, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan kurang kesedaran mengenai hak mereka di sisi undang-undang,” katanya.

Tambahnya, status sebagai warga asing tidak bermakna seseorang itu terlepas daripada perlindungan undang-undang atau boleh dijadikan sasaran mudah oleh penjenayah.

“Kita berada dalam negara yang memiliki undang-undang lengkap, anjing liar sekalipun dilindungi oleh undang-undang, inikan pula manusia. Jadi jangan kerana persepsi dan isu yang hangat diperkatakan menjadikan mereka sebagai ‘soft target’.

“Saya minta kepada sesiapa sahaja, bukan sahaja warga Rohingya, Bangladesh, India atau mana-mana warganegara yang berada di Malaysia, sekiranya menjadi mangsa jenayah, tampil membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kumpulan penyamun sasar etnik Rohingya tumpas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved