Anjing liar pun dilindungi undang-undang, inikan pula manusia – Polis

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 1:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anjing liar pun dilindungi undang-undang, inikan pula manusia – Polis

KUBANG PASU: Warga Myanmar etnik Rohingya dipercayai menjadi sasaran sekumpulan penjenayah tempatan yang menjadikan status mereka sebagai warga asing dan kecenderungan mangsa tidak membuat laporan polis sebagai peluang melakukan samun di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, kegiatan itu dibongkar selepas berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 13 kes samun, namun hanya satu laporan dibuat setakat ini.

Katanya, kes terbaharu dilaporkan seorang lelaki Rohingya berusia 28 tahun pada 17 Ogos lalu selepas mendakwa disamun tiga lelaki bertopeng di rumah sewanya di Kampung Kodiang Lama, kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Dalam kejadian itu, tiga lelaki berpakaian gelap, bertopeng dan memakai sarung tangan mengetuk pintu sebelum menyerang serta mengugut mangsa menggunakan pisau.

“Mereka turut mengacukan pisau ke arah badan dan leher mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga termasuk dua rantai leher, cincin, loket, sepasang anting-anting, dua telefon bimbit dan beg duit yang mengandungi kad UNHCR,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Menurutnya, polis menahan empat suspek berumur 22 hingga 37 tahun terbabit di Kodiang, Ipoh dan Kangar selain turut berjaya merampas semula barangan dipercayai hasil samun.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka mengaku terbabit dalam 13 kes samun di sekitar Kodiang yang menyasarkan etnik Rohingya, namun hanya satu mangsa tampil membuat laporan polis.

“Kita percaya kes samun membabitkan warga asing mungkin lebih banyak berlaku, tetapi tidak dilaporkan atas beberapa faktor termasuk ketakutan, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan kurang kesedaran mengenai hak mereka di sisi undang-undang,” katanya.

Mohd. Radzi menegaskan bahawa status sebagai warga asing tidak bermakna seseorang itu terlepas daripada perlindungan undang-undang atau menjadi sasaran mudah kepada penjenayah.

“Kita berada dalam negara yang memiliki undang-undang lengkap. Anjing liar sekalipun dilindungi oleh undang-undang inikan pula manusia. Jadi jangan kerana persepsi dan isu yang hangat diperkatakan menjadikan mereka sebagai ‘soft target’.

“Saya minta kepada sesiapa sahaja, bukan sahaja warga Rohingya, Bangladesh, India atau mana-mana warganegara yang berada di Malaysia, sekiranya menjadi mangsa jenayah, tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kegagalan mangsa membuat laporan hanya memberi ruang kepada penjenayah untuk terus menjadikan golongan berkenaan sebagai sasaran.-UTUSAN

The post Anjing liar pun dilindungi undang-undang, inikan pula manusia – Polis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved