Pemerdagangan manusia: Lelaki Myanmar angkut 12 rakan senegara guna Alphard

1 Sep 2026 • 1:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemerdagangan manusia: Lelaki Myanmar angkut 12 rakan senegara guna Alphard

KUBANG PASU: Taktik sindiket dipercayai menyembunyikan warga Myanmar di sebuah motel di Changlun, di sini terbongkar selepas polis menahan sebuah Toyota Alphard dipercayai digunakan untuk mengambil dan menghantar migran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 14 Ogos lalu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, sepasukan polis mengesan kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dalam keadaan mencurigakan dari Pekan Changlun sebelum mengekori kenderaan itu sehingga ke hadapan sebuah motel.

“Pasukan serbuan kemudian menahan kenderaan terbabit dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Myanmar berada di tempat duduk pemandu, manakala dua wanita Myanmar di bahagian tempat duduk belakang.

“Hasil soal siasat lanjut terhadap pemandu mendapati terdapat beberapa lagi warga asing yang ditempatkan di motel berkenaan. Susulan itu, serbuan dilakukan di sebuah bilik dan menahan enam lelaki serta dua lagi wanita Myanmar,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Mohd Radzi berkata, pemeriksaan di sebuah lagi motel berdekatan pula membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

Katanya, kesemua 13 warga Myanmar terbabit termasuk pemandu kenderaan berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, polis turut merampas Toyota Alphard berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mengambil dan menghantar migran terbabit.

“Siasatan mendapati MPV itu disewa daripada sebuah syarikat kereta sewa di Kuala Lumpur dan dipercayai digunakan untuk mengambil pendatang yang baru memasuki Malaysia melalui laluan tikus di kawasan sempadan.

“Selepas dibawa masuk, mereka dipercayai ditempatkan sementara di motel sebelum urusan penghantaran seterusnya dilakukan. Setakat ini hasil siasatan mendapati pihak pengurusan motel tiada kaitan dengan sindiket terbabit,” katanya.

Kesemua suspek direman bermula 16 Ogos hingga 12 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN

The post Pemerdagangan manusia: Lelaki Myanmar angkut 12 rakan senegara guna Alphard appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved