Kuo – Pratempahan Siri iPhone 16 Lebih Rendah Berbanding Siri iPhone 15

TechnologyDigital
17 Sep 2024 • 10:07 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pratempahan untuk siri iPhone 16 telah dibuka pada Jumaat lalu dengan Malaysia buat pertama kalinya menjadi negara gelombang pertama yang menerimanya. Sungguhpun pratempahan dibuka di lebih banyak negara, penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo melaporkan sambutan ke atas siri iPhone 16 tahun ini lebih rendah berbanding siri iPhone 15.

Menurut beliau secara keseluruhan 37 juta peranti telah dipratempah yang bersamaan penyusutan 12.7% berbanding tahun lalu. Pada model iPhone 16 Pro Max, ia susut 16% manakala pada iPhone 16 Pro pula ia susut 27%. Tetapi pratempahan untuk iPhone 16 dan 16 Plus masing-masing meningkat 10% dan 48% berbanding iPhone 15 dan iPhone 15 Plus tahun lalu.

image is not available

Kuo melakukan ramalan di atas berdasarkan tempoh masa diambil untuk peranti ditempah diterima oleh pembeli. Dapat dilihat pada model 16 Pro dan 16 Pro Max, tempoh menanti adalah lebih pendek berbanding 15 Pro dan 15 Pro Max. Tahun lalu model 15 Pro menyumbang peratusan tertinggi berbanding model iPhone 15 biasa.

Jelas tahun ini model bukan Pro telah mengambil sebahagian peratusan jualan. Penggunaan cip A18 dan bukan cip tahun lalu pastinya menjadi faktor pembelian bagi mereka yang tidak mahu berbelanja lebih untuk mendapatkan sokongan Apple Intelligence.

Penyusutan jualan iPhone sudahpun dijangka oleh Apple sejak laporan kewangan suku yang lalu. Keseluruhan pasaran telefon pintar tahun 2024 diramalkan mengalami penyusutan keran faktor ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.