
PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan bagi individu yang layak di bawah program Budi Madani Diesel (Budi Diesel), dengan kuota itu boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pendekatan itu memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.
Beliau berkata langkah itu juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.
Amir Hamzah berkata bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori itu.
“Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah berkata kemudahan tambahan kelayakan itu disediakan untuk membantu keperluan tambahan, terutamanya golongan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman.
Beliau berkata setiap pemilik kenderaan diesel berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mempunyai cukai jalan yang sah akan menerima kuota asas 200 liter secara automatik tanpa perlu membuat pendaftaran.





