Pemilik Kenderaan Diesel Terima Kuota 200 Liter Sebulan, Boleh Mohon Tambahan 100 Liter

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 8:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemilik Kenderaan Diesel Terima Kuota 200 Liter Sebulan, Boleh Mohon Tambahan 100 Liter

KUALA LUMPUR - Harga runcit diesel bersubsidi di seluruh negara akan diturunkan, serentak dengan pelaksanaan mekanisme baharu kuota bahan api bulanan bagi penerima yang layak, sebagai sebahagian daripada perluasan program subsidi bersasar negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian berkuasa diesel akan menerima kuota bulanan sebanyak 200 liter yang boleh digunakan untuk pembelian diesel bersubsidi atau petrol RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.

Menurut beliau, penerima bebas menggunakan kuota tersebut sama ada untuk diesel atau RON95 selagi masih mempunyai baki kuota bulanan yang diperuntukkan.

“Kuota 200 liter ini boleh digunakan secara fleksibel berdasarkan keperluan sebenar pengguna untuk membeli diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah tetapi tidak memiliki kenderaan diesel juga berpeluang menikmati kuota sedia ada sebanyak 200 liter petrol RON95 bersubsidi setiap bulan.

Dalam pada itu, pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) boleh memohon tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah maksimum yang boleh diterima sebanyak 300 liter.

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula bulan hadapan. 

Langkah terbabit sekali gus memperluaskan manfaat harga bahan api yang lebih rendah ke seluruh Malaysia melalui mekanisme subsidi bersasar.

Sistem baharu tersebut akan menggunakan pengesahan melalui MyKad, sama seperti pelaksanaan program BUDI95, bagi memastikan hanya warganegara yang layak menerima subsidi bahan api berkenaan.

Golongan bukan warganegara serta individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan pula perlu membeli diesel pada harga pasaran semasa.

Berdasarkan pengumuman harga bahan api mingguan yang dikeluarkan pada Rabu lalu, harga diesel ketika ini adalah RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan menikmati harga runcit RM2.15 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun.

Amir Hamzah berkata, berdasarkan pengiraan kerajaan, kuota maksimum 300 liter diesel bersubsidi sebulan mencukupi untuk perjalanan harian sehingga 172 kilometer.

Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan purata 22 hari bekerja sebulan serta penggunaan bahan api antara tujuh hingga sembilan liter bagi setiap 100 kilometer.

“Dengan kuota 300 liter, seseorang pengguna boleh melakukan perjalanan ulang-alik harian antara Marudi dan Miri yang melibatkan jarak kira-kira 172 kilometer sehari,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, mekanisme subsidi itu akan beroperasi sama seperti program BUDI95, iaitu pengguna yang layak hanya perlu mengemukakan MyKad ketika membeli diesel bersubsidi.

Pemilik kenderaan yang ingin memohon tambahan kuota diesel bersubsidi boleh mengemukakan permohonan melalui portal BUDI MADANI bermula hari ini. - Getaran, 22 Jun 2026