
PUTRAJAYA – Lebih 16 juta pengguna petrol RON95 bakal menikmati semula kuota subsidi sehingga 300 liter sebulan apabila kerajaan mengembalikan kelayakan asas Budi MADANI RON95 (BUDI95) berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu menyaksikan tambahan 100 liter berbanding had semasa 200 liter sebulan, sekali gus menjadi antara langkah segera kerajaan bagi membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat tanpa menunggu pembentangan Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil keputusan berkenaan selepas mengambil kira keperluan rakyat yang berdepan tekanan perbelanjaan semasa.
“Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan.
“Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, Ahad.
Dalam perkembangan sama, pengguna diesel yang layak turut menerima manfaat apabila had BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan jenis pikap dan jip dinaikkan sehingga 400 liter sebulan.
Menurut Anwar, lebih setengah juta pemilik kenderaan dalam kategori berkenaan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan tersebut.
Langkah terbaharu itu mengembalikan kuota BUDI95 kepada paras asal selepas kerajaan menyelaraskannya daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April lalu.
Penyelarasan ketika itu dilaksanakan sebagai langkah sementara susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap harga minyak global dan meningkatkan beban subsidi kerajaan.
Bagaimanapun, kerajaan kini memilih untuk melaksanakan beberapa langkah bantuan lebih awal berikutan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat tidak boleh menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar berkata, kerajaan perlu mencari ikhtiar yang mampu memberikan kelegaan segera kepada rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada manfaat secara langsung.
Semua langkah yang diumumkan menerusi amanat berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 1 September 2026.
The post Kuota BUDI95 kembali 300 liter mulai hari ini appeared first on MYBERITA.






