
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bermula 1 April lalu kuota bagi BUDI95 telah dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter. Pekara itu dilakukan sebagai usaha untuk memastikan subsidi bahan api masih boleh dinikmati rakyat Malaysia.
Bahkan kerajaan turut mengekalkan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter untuk mengurangkan beban rakyat.
Kuota BUDI95 dari 200 liter mungkin akan dikurangkan ke 150 liter sebulan
Terbaharu Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong memaklumkan kuota 200 liter berpotensi dikurangkan lagi kepada 150 liter.
Perkara itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik ketika berdepan dengan krisis bekalan global ekoran daripada konflik yang berlaku di Asia Barat.
Tambah Liew lagi meskipun tiada sebarang garis masa yang ditentukan bagi pengurangan kuota berkenaan, namun ia boleh dilakukan memandangkan BUDI95 ada keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci yang secara tidak langsung membolehkan kerjaan membuat pelarasan subsidi serta pengurusan bekala secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa.
Data menunjukkan 80% rakyat Malaysia guna kurang daripada 200 liter petrol sebulan – Liew Chin Tong
Menurut Liew lagi, data penggunaan semasa memaparkan sebahagian besar daripada masyarakat di negara ini menggunakan kurang daripada kuota semasa iaitu 200 liter sebulan.
“Walaupun berlaku pengurangan (kuota subsidi dikurangkan), kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60% daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah 50% daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” jelasnya, dipetik Berita Harian.
Ujar Liew lagi, usaha untuk mengurangkan penggunaan bahan api itu dianggap penting. Ia adalah untuk memastikan bekalan tersebut dapat diberikan secara konsisten terhadap rakyat meskipun pada kadar yang lebih terkawal.
Golongan pendapatan rendah dan pengguna motosikal akan terkesan jika harga petrol naik mendadak
Katanya lagi, perkara itu penting dalam melindungi golongan yang memiliki pendapatan rendah serta pengguna motosikal yang dianggap kumpulan paling terkesan jika harga bagi bahan api meningkat secara mendadak.
Beliau turut menjadikan penunggang motosikal sebagai contoh yang mana penggunaan petrol mereka hanya sekitar 50 liter sebulan dan golongan ini perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi untuk mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.
Katanya, pendekatan terbabit turut dilihat penting dari segi kestabilan sosial serta politik negara terutama dalam memastikan golongan kurang berkemampuan tidak terbeban dalam berdepan keadaan ekonomi yang mencabar.
Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk bahan api meningkat 10 kali ganda sejak konflik Asia Barat, mekanisme subsidi diesel Sabah Sarawak masih dalam perancangan
Harga minyak mentah yang meningkat dengan mendadak ekoran konflik geopolitik di Asia Barat sejak pada Februari lalu telah menyebabkan perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api melonjak sehingga 10 kali ganda.
Liew juga menegaskan kerajaan kini masih dalam perancangan mekanisme subsidi diesel yang disasarkan bagi Sabah serta Sarawak, sama seperti bahan api BUDI95.
Liew berpendapat Malaysia perlu percepatkan pelaburan pengangkutan awam
Menurutnya untuk jangka masa panjang, Malaysia perlu mempercepatkan pelaburan bagi pengangkutan awam, elektrifikasi serta perancangan bandar yang lebih padat. Perkara itu bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan minyak untuk jangka masa panjang.
Beliau dalam masa sama berkata BUDI95 bukan sekadar mekanisme subsidi bersasar bahan api sebaliknya ia juga digunakan untuk mengurus dan memastikan bekalan di dalam negara kekal untuk tempoh lebih panjang jika konflik Asia Barat berterusan.
“Jika rakyat dapat menerima keperluan untuk mengurangkan penggunaan demi memastikan bekalan berterusan, isu fiskal akhirnya akan dapat ditangani secara tidak langsung,” katanya.




