Kurangkan sengketa politik, perkasa usaha gemilang ummah – Sultan Nazrin

LocalPolitics
25 Aug 2026 • 12:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kurangkan sengketa politik, perkasa usaha gemilang ummah – Sultan Nazrin

IPOH – Pemimpin Islam, badan dan gerakan atas nama Islam diseru mengurangkan persengketaan dan berpolitik, sebaliknya menumpukan perhatian, tenaga dan gerakan kepada usaha memperkukuh serta menggemilangkan identiti ummah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha memperkasakan ummah perlu diberikan keutamaan ketika kesatuan umat Islam semakin berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan.

Titah baginda, tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia juga semakin mengatasi semangat persaudaraan sehingga konsep ukhuwah semakin dipinggirkan.

“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha-usaha positif.

“Usaha berkenaan antaranya meliputi bidang pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga.

“Usaha-usaha positif ini wajib diperluaskan, diperkukuhkan dan dijayakan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H peringkat negeri di Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, jati diri muslim dan identiti ummah ketika ini menghadapi cabaran yang perlu ditangani secara serius.

Titah baginda, ummah kini semakin terdedah kepada pengaruh global apabila media sosial, budaya popular, hiburan dan gaya hidup global membentuk pemikiran generasi muda.

“Usaha, pendekatan dan langkah yang bijak sangat diperlukan untuk mengimbangkan dan memastikan kemodenan tidak menghakis prinsip dan identiti Muslim, demi memastikan tidak akan wujud krisis keyakinan terhadap identiti sendiri,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, identiti ummah kini tidak lagi seragam berikutan umat Islam wujud dalam pelbagai negara, budaya dan sistem politik serta terdedah kepada pelbagai pengaruh perubahan zaman.

Baginda bertitah, walaupun identiti keagamaan masih kuat, tahap penghayatan menunjukkan perbezaan apabila sebahagian umat Islam hanya mewarisi agama melalui kelahiran tanpa pengertian dan penghayatan yang sebenar.

“Meskipun Islam masih menjadi sumber pegangan, namun dalam kalangan sebahagian ummah, Islam lebih kelihatan pada simbol dan ritual, sedangkan prinsip dan nilai-nilai asas Islam seperti amanah, jujur, adil, akhlak, disiplin, ilmu, malu dan ihsan, semakin tidak diterjemahkan atau diamalkan dalam kehidupan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, jati diri Muslim tidak terbina dalam sehari, sebaliknya bermula daripada akidah yang teguh, dibentuk dengan ilmu, dihiasi akhlak dan dibuktikan melalui amal.

“Jika setiap masyarakat, setiap keluarga, setiap seorang daripada kita mengambil tanggungjawab menyempurnakan peranan secara berkesan, insya-Allah lahirlah umat yang bukan sahaja kuat jati diri, tetapi mulia akhlaknya, luas ilmunya dan teguh pendiriannya,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

The post Kurangkan sengketa politik, perkasa usaha gemilang ummah – Sultan Nazrin appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved