Umat Islam diseru solat hajat, doa jerebu Sarawak reda

LocalEnvironment
25 Aug 2026 • 8:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Umat Islam diseru solat hajat, doa jerebu Sarawak reda

PETALING JAYA: Umat Islam di seluruh negara diseru mengadakan solat hajat dan memperbanyakkan doa sebagai ikhtiar memohon agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini segera berakhir.

Ia susulan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya solat hajat diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu bertambah baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, seluruh masjid di Wilayah Persekutuan turut diseru menyatukan saf bersama umat Islam di seluruh negara bagi memohon pertolongan Allah SWT.

Kata beliau, doa perlu berjalan seiring dengan usaha fizikal yang dilaksanakan pihak berkuasa bagi menangani keadaan jerebu dan melindungi keselamatan serta kesihatan rakyat.

“Adalah menjadi kewajipan agama bagi kita untuk menzahirkan solidariti melalui pelaksanaan solat hajat dan doa secara berterusan.

“Gabungan ikhtiar fizikal serta keutuhan doa adalah senjata utama orang beriman kerana sesungguhnya tiada satu pun ujian yang diangkat melainkan dengan keizinan, rahmat dan kasih sayang Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zulkifli pada masa sama mengingatkan umat Islam supaya mengambil iktibar daripada keadaan berkenaan dengan memelihara alam sekitar yang merupakan amanah Allah SWT.

Beliau turut menggesa orang ramai mematuhi segala arahan pihak berkuasa, khususnya berkaitan langkah keselamatan ketika berdepan keadaan jerebu.

“Marilah kita memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan, mudah-mudahan Allah mengangkat ujian jerebu ini dan mengurniakan kesejahteraan serta udara yang bersih kembali kepada saudara-saudara kita di Sarawak,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Sultan Pahang menitahkan supaya solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri Pahang sebagai usaha memohon agar keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan bertambah baik.

Baginda turut bertitah supaya doa dan ikhtiar dilaksanakan secara seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

The post Umat Islam diseru solat hajat, doa jerebu Sarawak reda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved