
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Memang tidak dapat dinafikan, kebanyakan hospital kerajaan seluruh negara mempunyai jumlah pengunjung yang ramai. Ada yang datang untuk kes kecemasan, menghadiri temu janji bersama pakar, melawat pesakit, mengambil ubat dan sebagainya.
Namun apa yang ramai masih tidak tahu adalah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah memperkenalkan sebuah aplikasi dikenali sebagai MyUBAT, bertujuan untuk memudahkan pesakit dan pengunjung mendapatkan bekalan ubat susulan di fasiliti kesihatan KKM tanpa perlu menunggu lama di kaunter.
Wanita Minta Pengunjung Hospital Kerajaan Guna Aplikasi MyUBAT Untuk Urusan Ambil Ubat
Malah baru-baru ini, seorang wanita di laman Threads dikenali sebagai Huda turut berharap orang ramai menggunakan aplikasi berkenaan sekiranya mempunyai urusan mengambil ubat di hospital kerajaan atau kesihatan (KK) di negara.
Tak Perlu Tunggu Lama Untuk Ambil Ubat Di Kaunter
Menurut Huda, dengan menggunakan sistem MyUBAT, pengunjung termasuk warga emas tidak perlu lagi beratur lama untuk mendapatkan ubat susulan.
“Korang, tolong. Daftar diri sendiri atau ibu bapa kalau ambil ubat di hospital gomen (kerajaan) guna MyUBAT. Kesian tau dah tua bangka kena beratur ambil ubat and tunggu lama.
“Dengan anak kecil ikut sekali. Saya pakai aplikasi ni setiap kali ambil ubat mak dekat Hospital Ampang. Ambil dekat locker je. Tolong viralkan untuk kurangkan trafik di hospital,” katanya di ruangan kapsyen.
View on Threads
Ada Pengunjung Hospital Sampai Cangkung Menunggu Giliran Di Kaunter Ambil Ubat
Huda dalam satu hantaran lain di ruangan balas turut berkongsi foto menunjukkan kesesakan pengunjung yang terpaksa menunggu dipercayai di ruangan tempat pengambilan darah untuk mengambil ubat di kaunter.
Menerusi gambar berkenaan, kelihatan ada pengunjung yang perlu berdiri kerana kawasan terbabit terlalu penuh. Malah lebih teruk ada yang terpaksa bercangkung.
View on Threads
2 Pilihan Cara Untuk Ambil Bekalan Ubat Guna Aplikasi MyUBAT
Terdapat dua cara pengambil ubat menggunakan aplikasi MyUBAT iaitu:
- Sistem temu janji
- Ubat melalui pos (UMP)
Untuk melihat senarai premis kesihatan yang menggunakan sistem MyUBAT, anda boleh layari [DI SINI].
Langkah-langkah Guna Aplikasi MyUBAT
Buat anda yang tidak pernah menggunakan aplikasi MyUBAT, di sini kami kongsikan langkah-langkahnya menurut panduan infografik Klinik Kesihatan Cheng Melaka di laman Facebook.
- Muat turun aplikasi MyUBAT melalui Google Play atau App Store.
- Pilih fasiliti pusat kesihatan di mana anda mahu mendapatkan bekalan ubat.
- Pilih jenis perkhidmatan sama ada sistem temu janji atau ubat melalui pos (UMP).
- Masukkan tarikh temu janji.
- Muat naik gambar preskripsi.
- Semak dan pantau status bekalan.
- Pinda atau tukar tarikh temu janji (pilihan). Butiran yang boleh ditukar adalah; jenis perkhidmatan, tarikh temu janji akan datang dan alamat penghantaran (UMP).





