Bekas kakitangan KPTM tidak mengaku cabul, ucap kata-kata lucah kepada pelajar

9 Sep 2026 • 3:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas kakitangan KPTM tidak mengaku cabul, ucap kata-kata lucah kepada pelajar

IPOH – Seorang bekas kakitangan bahagian pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan mengeluarkan kata-kata lucah terhadap enam pelajar kolej berkenaan.

Tertuduh, Roykarnaen Maseri, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha dan Majistret Norizan Riduan.

Di hadapan Punitha, tertuduh yang mempunyai seorang anak perempuan itu didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pelajar masing-masing berusia 19 dan 22 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mereka.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik aktiviti HEP 3, Poly-Tech MARA, Meru Jelapang di dalam daerah Kinta pada pukul 6.12 petang pada 5 Ogos 2026 dan 8.15 petang pada 6 Ogos 2026.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh, berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Aliff Aiman Rusli dan Muhammad Ajrun Dzakirin Hakimi memohon jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan lelaki itu tidak mempunyai pendapatan selepas berhenti kerja pada 17 Ogos lalu.

Katanya, selain menanggung isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun, tertuduh turut menanggung ibu bapanya masing-masing berusia 58 dan 72 tahun yang mengalami masalah kesihatan.

“Tertuduh yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan itu turut mempunyai penyakit ‘tiga serangkai’.

“Tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan tidak memerlukan jumlah jaminan tinggi bagi memastikan kehadirannya di mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, di hadapan Norizan, tertuduh juga didakwa menggunakan kata-kata berunsur lucah terhadap empat pelajar berusia 18 hingga 20 tahun dengan niat menyebabkan atau mengetahui bahawa kata-kata itu berkemungkinan menyebabkan gangguan, ketakutan, tekanan dan kebimbangan.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di beberapa lokasi di daerah Kinta antara 18 Jun hingga 6 September 2026.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin itu dijalankan mengikut Seksyen 507(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Norizan kemudian membenarkan tertuduh yang turut diwakili Aliff Aiman itu diikat jamin sebanyak RM4,500 untuk keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan sama yang dikenakan terhadap lelaki itu sebelum ini.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas kakitangan KPTM tidak mengaku cabul, ucap kata-kata lucah kepada pelajar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved