Kisah kejayaan seorang usahawan kecil tempatan sekali lagi menjadi bukti bahawa perniagaan besar boleh bermula daripada langkah kecil, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau menceritakan perjalanan Kak Saleha, pengasas Nasi Lemak Saleha, yang memulakan perniagaan dengan hanya berniaga di bawah payung di tepi jalan menggunakan meja lipat. Ketika itu, beliau memasak sendiri di rumah dan membungkus makanan secara manual, walaupun berdepan cabaran termasuk tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.
Permintaan yang semakin meningkat terhadap nasi lemak jualannya mendorong Kak Saleha mendapatkan pembiayaan sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi mengembangkan perniagaan.
Selepas 15 tahun, perniagaan tersebut kini berkembang pesat daripada gerai kecil kepada operasi berskala besar. Nasi Lemak Saleha kini mempunyai restoran, dapur pusat (central kitchen), serta menggaji puluhan pekerja. Jualan harian juga melonjak daripada ratusan bungkus kepada kira-kira 15,000 bungkus sehari.
Menurut Steven Sim, kejayaan ini turut disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pembiayaan daripada AIM, SME Corp dan TEKUN, selain pengiktirafan Anugerah E50 yang diterima pada tahun lalu.

Beliau turut berkongsi bahawa anak kepada Kak Saleha, Dr Rizal, kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut. Dr Rizal sebelum ini merupakan seorang doktor perubatan dan pernah mengikuti latihan keusahawanan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Dalam perbualan bersama Dr Rizal, beliau menyatakan hasrat untuk terus mengembangkan kapasiti pengeluaran. Namun, antara cabaran utama yang dihadapi adalah keperluan kepada akses pembiayaan yang lebih mudah bagi meningkatkan fasiliti perniagaan.


Sehubungan itu, Steven Sim berkata pihaknya telah mengarahkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk berbincang lanjut bagi membantu perniagaan tersebut berkembang ke tahap seterusnya.
“Kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa ramai usahawan hebat bermula dari kecil,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan lebih banyak perniagaan kecil mampu berkembang menjadi syarikat besar, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kita mahu bisnes kecil jadi besar, dan bisnes besar jadi lebih besar,” tambah beliau.




