KWAP jual hampir lapan juta saham, bukan lagi pemegang utama Zetrix AI

18/07/2025 - 09:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Julai – Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bukan lagi pemegang saham utama Zetrix AI setelah menjual hampir lapan juta saham dalam syarikat itu pada Selasa lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KWAP berkata, pihaknya menjual sebanyak 7.98 juta saham menerusi pasaran terbuka, menyebabkan pegangan dalam syarikat teknologi itu susut kepada 4.92%, berbanding 5% yang diperlukan bagi status pemegang saham utama.
KWAP mula menjadi pemegang saham utama dalam Zetrix AI pada tahun 2015, ketika syarikat itu masih beroperasi di bawah nama MyEG Services Bhd.
Kini, KWAP merupakan pemegang saham keempat terbesar Zetrix AI selepas Asia Internet Holdings Sdn Bhd (13.43%), Pengarah Urusan Kumpulan Wong Thean Soon (13.36%) dan CIMB Group Holdings Bhd (5.20%).
Tindakan KWAP itu hadir selepas Bursa Malaysia Securities mengeluarkan teguran awam terhadap Zetrix AI pada Isnin, serta mendenda tujuh pengarah syarikat itu sebanyak RM150,000 setiap seorang atas pelanggaran peraturan penyenaraian.
Antara pelanggaran yang dinyatakan termasuk membuat kenyataan yang mengelirukan dalam pengumuman pada 7 Julai, 13 September dan 14 September 2023, serta kegagalan mematuhi arahan Bursa untuk memberikan penjelasan lanjut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Antara pengarah yang dikenakan tindakan termasuk Wong, Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Norraesah Mohamad, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, Wong Kok Chau, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Datuk Mohd Jeffrey Joakim dan Mohaini Mohd Yusof.
Zetrix AI dalam makluman susulan menyatakan akan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut.
Dagangan saham Zetrix AI turut digantung selama satu jam pada hari Selasa, sebelum disambung semula pada jam 10 pagi.
Sahamnya menyusut sehingga 7.1% ke paras terendah harian 91.5 sen, namun ditutup sedikit lebih tinggi pada 93 sen, merosot 5.58% atau 5.5 sen berbanding sesi sebelumnya - DagangNews.com
standard


