hamden11/05/2026 - 12:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Mei - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 20 Mei 2026.
KWAP dalam satu kenyataan berkata, Jay Khairil mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, merangkumi kepakaran luas dalam pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko serta transformasi institusi.
Sebelum menyertai KWAP, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), di mana beliau menerajui usaha transformasi bank tersebut melibatkan prestasi kewangan, perbankan digital, ketahanan operasi serta keterangkuman kewangan, selain melaksanakan mandat pembangunan untuk masyarakat di seluruh negara.
Beliau turut pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Juruaudit Dalaman BSN, selain menyandang beberapa jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia, serta berpengalaman awal di Hong Leong Bank dan AmMerchant Bank.
Jay Khairil memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Kewangan dari Heriot-Watt University, Edinburgh, United Kingdom serta Diploma Tinggi Pengurusan Perakaunan.
Beliau juga merupakan Chartered Banker, Chartered Global Management Accountant serta Certified Financial Services Auditor, selain ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), serta ahli bertauliah Institute of Internal Auditors Malaysia.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, beliau akan menerajui hala tuju strategik, operasi serta keutamaan institusi dana pencen sektor awam itu, selaras dengan mandat KWAP dalam pengurusan pelaburan berdisiplin, tadbir urus kukuh dan pengawasan institusi jangka panjang.
Dalam masa sama, KWAP turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Nik Amlizan Mohamed yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak 2020 atas kepimpinan, jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan yang membawa kepada kejayaan berterusan organisasi. - DagangNews.com






