
PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah, kemudahan baharu yang membolehkan ahli beragama Islam menunaikan kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka dengan lebih mudah.
Menerusi kemudahan itu, ahli Simpanan Shariah boleh memilih supaya bayaran zakat tahunan dipotong terus daripada dividen tahunan selepas ia diisytiharkan.
KWSP kemudiannya akan bertindak sebagai wakil bagi menyalurkan bayaran zakat berkenaan kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pengenalan kemudahan itu merupakan penambahbaikan penting kepada Simpanan Shariah kerana menyediakan cara lebih mudah untuk ahli menunaikan kewajipan zakat.
“Bagi ahli yang memilih kemudahan ini, KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan kewajipan zakat tahunan. Ini membolehkan ahli menumpukan perhatian kepada usaha membina simpanan persaraan mereka.
“Pada masa sama, kemudahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh penawaran Simpanan Shariah dengan memastikan kemudahan yang disediakan selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KWSP, kemudahan berkenaan diperkenalkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang memutuskan Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bahawa simpanan berkenaan memenuhi ciri pemilikan sempurna, selain pencarum mempunyai hak untuk berurusan melalui akad Wakalah dengan KWSP.
Muzakarah sama turut memutuskan zakat yang perlu dibayar ke atas Simpanan Shariah ialah zakat perniagaan dan pembayarannya boleh diuruskan KWSP bagi pihak pencarum.
Zakat berkenaan akan dikira secara kolektif atau khultah pada setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember menggunakan kaedah modal kerja terlaras dengan kadar zakat 2.577 peratus.
Jumlah kewajipan zakat seterusnya dibahagikan kepada ahli beragama Islam secara pro-rata berdasarkan Kadar Zakat Ahli, sebelum jumlah berkenaan dipotong daripada dividen tahunan mereka.
Dalam pada itu, simpanan yang telah layak untuk pengeluaran termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel tidak memerlukan bayaran zakat berasingan oleh ahli di bawah kemudahan tersebut.
Ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang mahu memilih kemudahan berkenaan boleh berbuat demikian melalui KWSP i-Akaun (Ahli), Terminal Layan Diri (SST) atau di pejabat KWSP seluruh negara.
Ahli yang tidak memilih kemudahan itu pula masih boleh menunaikan kewajipan zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada zakat. – KOSMO! ONLINE
The post KWSP perkenal zakat perniagaan bagi Simpanan Shariah appeared first on Kosmo Online.






