hamden25/11/2026 - 12:36 KUALA LUMPUR 25 Nov - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasarkan untuk meningkatkan pendedahan pelaburan luar negaranya kepada 50% dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, seiring usaha menyusun semula portfolio pelaburan bernilai RM1.5 trilion dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sasaran itu mencerminkan hala tuju jangka panjang portfolio dana persaraan terbesar Malaysia berkenaan ketika berdepan penilaian saham dan hasil bon yang lebih tinggi serta peningkatan ketidaktentuan geopolitik.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 38% daripada keseluruhan portfolio KWSP dilaburkan di pasaran luar negara, berbanding sasaran 50% dalam tempoh lima hingga enam tahun.
“Itulah hala tuju yang saya lihat bagi portfolio ini,” katanya dalam temu bual bersama Haslinda Amin menerusi Bloomberg Television pada Rabu.
Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP turut memberi keutamaan kepada pelaburan dalam sektor infrastruktur, yang dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan tenaga.
Menurutnya, ketiga-tiga perkembangan itu menjadi antara pemacu utama kepada keperluan pelaburan infrastruktur, sekali gus membuka peluang kepada dana berkenaan untuk memperkukuh pendedahannya dalam sektor tersebut.
KWSP yang merupakan antara dana persaraan terbesar di Asia menguruskan aset bernilai RM1.5 trilion (AS$365 bilion) bagi pihak lebih 16 juta ahlinya.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, KWSP membayar dividen tahunan purata kira-kira 5.9%, lebih dua kali ganda berbanding pulangan 2.7% yang ditawarkan deposit tetap perbankan Malaysia bagi tempoh setahun dalam tempoh sama. - DagangNews.com





