
KUANTAN: Sebanyak RM4.49 juta bantuan bencana disalurkan kepada 6,290 kes penerima di Pahang bagi tempoh 2022 hingga Oktober tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu disalurkan melalui bantuan bencana yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan empat kategori iaitu ribut, kebakaran, kematian dan lain-lain bencana termasuk tanah runtuh.
Menurutnya, tahun 2025 merekodkan jumlah bantuan tertinggi iaitu RM2.43 juta, diikuti RM642,400 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
“Pada 2022, sebanyak RM534,456.50 disalurkan, diikuti RM510,186 (2023) dan RM376,458.50 (2024),” katanya ketika menjawab soalan ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan secara apungan sebanyak RM50,000 setahun kepada setiap Tabung Malapetaka Daerah (TMD) di 11 daerah bagi membolehkan bantuan segera diberikan kepada mangsa bencana.
Katanya, tabung berkenaan merupakan salah satu komponen di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang dan dipengerusikan pegawai daerah masing-masing.
“Peruntukan ini membolehkan bantuan segera disalurkan tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan baharu setiap kali berlaku bencana.
“Jika jumlah sedia ada tidak mencukupi, jawatankuasa di peringkat daerah boleh mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai kemungkinan mewujudkan tabung khas bencana pertanian, beliau berkata, kerajaan negeri belum mempunyai peruntukan khusus seumpama itu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan bantuan berdasarkan kes demi kes, terutama jika kejadian bencana menyebabkan kerugian serius kepada petani dan pekebun serta mengambil kira kemampuan kewangan negeri.
Beliau berkata, cadangan mewujudkan tabung khas berkenaan akan dikaji dan kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan pemberian bantuan secara sekali bayar (one-off).
Menjawab mengenai mekasnisma agihan, Wan Rosdy berkata bantuan lazimnya disalurkan kepada ketua isi rumah berdasarkan maklumat dan penilaian yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Malapetaka Daerah.
“Bagi mangsa banjir pula, bantuan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah diselaraskan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan pemberian dihadkan sekali bagi setiap musim Monsun Timur Laut walaupun kediaman mangsa dilanda banjir beberapa kali,” katanya. – UTUSAN
The post Pahang salur RM4.49 juta bantuan bencana kepada 6,290 penerima appeared first on Utusan Malaysia.




