MIDA lanjutkan setahun lagi pelaksanaan projek loji nadir bumi Kelantan kepada Greensnow

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDA lanjutkan setahun lagi pelaksanaan projek loji nadir bumi Kelantan kepada Greensnow Image from: MIDA lanjutkan setahun lagi pelaksanaan projek loji nadir bumi Kelantan kepada Greensnow johardy24/11/2026 - 18:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melanjutkan tempoh pelaksanaan projek loji pengasingan dan pemprosesan nadir bumi milik Greensnow Precision Sdn Bhd di Kelantan selama setahun hingga 25 Dis 2027, menurut Niche Capital Emas Holdings Berhad.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Niche Capital berkata tempoh asal yang berakhir pada 25 Dis 2026 dilanjutkan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975. Greensnow Precision merupakan anak syarikat milik penuh Greensnow Consolidated Berhad, kumpulan nadir bumi Malaysia yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

 

Loji itu merupakan komponen pemprosesan bagi projek pembangunan bersama untuk meneroka, mengekstrak dan memproses nadir bumi di Kelantan.

 

NICE REE Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Niche Capital, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Greensnow Consolidated pada 7 Mei 2026 bagi projek itu. MoU tersebut kekal berkuat kuasa hingga 6 Mei 2027.

 

Dalam makluman berasingan, Niche Capital berkata Greensnow Consolidated memaklumkan StrategicREM, LLC meminta tempoh hingga akhir Disember 2026 untuk memberikan maklum balas mengenai cadangan perjanjian muktamad pembelian mineral nadir bumi.

 

Cadangan itu susulan MoU yang dimeterai oleh Greensnow Consolidated, NICE REE dan StrategicREM pada 30 Jun 2026.

 

Niche Capital tumpu pembangunan KK Hill

Niche Capital turut memaklumkan MoU antara anak syarikat milik penuhnya, Niche Capital Exploration Sdn Bhd, dan Enrich Mining Sdn Bhd tidak akan dilanjutkan selepas tamat tempoh pada 30 Nov 2026.

 

MoU itu melibatkan hak eksklusif untuk menjalankan kerja penerokaan di kawasan seluas 3,255 hektar (kira-kira 8,043 ekar) di Kelantan.

 

Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan perlombongan KK Hill seluas kira-kira 97.12 hektar (240 ekar) di Mukim Lubok Bongor, Jeli, Kelantan.

 

Perjanjian usaha sama muktamad bagi KK Hill, yang dimeterai oleh Niche Capital Mining (Sejana) Sdn Bhd dan Enrich Mining pada 10 Jun 2025, kekal berkuat kuasa hingga 9 Jun 2030.

 

Niche Capital menjangka tamat tempoh MoU penerokaan itu tidak memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih dan nisbah penggearan kumpulan bagi tahun kewangan semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved