KWSP wajibkan caruman 2% untuk pekerja asing bermula dengan gaji Oktober

01/10/2025 - 14:41
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Okt – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan caruman wajib bagi semua pekerja bukan warganegara di Malaysia bermula November ini dengan potongan berasaskan gaji bulan Oktober.
Di bawah dasar baharu itu, kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja diwajibkan mencarum sebanyak 2% daripada gaji bulanan.
Menurut KWSP, caruman itu melibatkan semua pekerja asing yang memiliki pasport serta pas kerja sah dikeluarkan Jabatan Imigresen, kecuali pembantu rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, peluasan caruman wajib ini adalah langkah penting dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.
“Ia menangani jurang utama dalam perlindungan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja semua warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KWSP menjelaskan, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, wakil majikan, pekerja asing serta badan bukan kerajaan sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan pelaksanaan undang-undang ini berjalan lancar.
Dalam masa sama, KWSP turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meningkatkan integrasi data dan sistem, termasuk perkongsian maklumat berhubung pemegang Pas Lawatan (Kerja Sementara) dan Pas Pekerjaan.
Inisiatif itu diyakini dapat meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pelaksanaan caruman wajib pekerja asing di Malaysia.
Sehubungan itu, KWSP mengingatkan semua majikan yang masih belum berdaftar untuk tampil segera berbuat demikian.
Pendaftaran majikan boleh dibuat sama ada secara dalam talian melalui portal rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara. - DagangNews.com
standard

