
BARCELONA – Pemain baharu Barcelona, Anthony Gordon hanya memerlukan beberapa minit untuk memperkenalkan dirinya di pentas La Liga apabila mencipta dua bantuan jaringan ketika membantu juara bertahan itu membelasah Elche 5-0 pada aksi pembukaan musim, semalam.
Pemain sayap England berusia 25 tahun yang menyertai Barcelona dari Newcastle United pada jendela perpindahan musim panas dimasukkan menggantikan Lamine Yamal pada minit ke-65 sebelum terus memberikan impak.
Hanya dua minit berada di atas padang, Gordon mencipta bantuan jaringan pertamanya untuk disudahkan kapten, Raphinha sebelum sekali lagi memainkan peranan menerusi gerakan pantas dari sayap kiri bagi membolehkan Fermin Lopez menambah jaringan empat minit kemudian.
Prestasi itu cukup menarik memandangkan Gordon hanya menghasilkan dua bantuan jaringan dalam 26 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Newcastle musim lalu, biarpun muncul penjaring terbanyak kelab dengan 17 gol dalam semua pertandingan.
Terdahulu, Raphinha membuka tirai jaringan Barcelona menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 selepas dijatuhkan Victor Chust di dalam kotak penalti sebelum pemain baharu, Karim Adeyemi menggandakan kelebihan menjelang rehat.
Adeyemi yang membuat penampilan sulung selepas berhijrah dari Borussia Dortmund menyempurnakan hantaran Raphinha untuk meledak gol pertamanya bersama Blaugrana, manakala Pedri terpaksa dimasukkan lebih awal selepas Gavi mengalami kecederaan.
Barcelona terus mendominasi babak kedua dengan kemasukan Gordon memberikan dimensi tambahan kepada jentera serangan sebelum Lopez melengkapkan kemenangan bergaya menerusi gol keduanya pada minit ke-79.
Kemenangan besar itu memastikan skuad kendalian Hansi Flick membuka misi mempertahankan kejuaraan La Liga dengan langkah kanan sebelum berdepan Athletic Bilbao, Khamis ini. – AGENSI
The post La Liga: Gordon pantas curi tumpuan appeared first on Kosmo Digital.

