
KUALA LUMPUR 8 Dis – LAC Med Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12.1 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LAC Med berkata, prestasi kukuh itu adalah hasil daripada segmen pembekalan dan integrasi peranti perubatan, peralatan perubatan serta produk dan perkhidmatan berkaitan.
“LAC Med mencatatkan hasil sebanyak RM28 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM2.9 juta pada 3QFY2025, didorong terutamanya oleh jualan peralatan perubatan dan penyelesaian IT penjagaan kesihatan kepada hospital swasta.
“Margin kasar bagi suku ketiga ini berada pada 31 peratus, lebih tinggi daripada purata kumpulan, disokong oleh sumbangan kukuh daripada jualan peralatan perubatan, produk perubatan boleh guna serta perkhidmatan penyelenggaraan dan IT kesihatan,” katanya dalam makluman tersebut.
Perbelanjaan pentadbiran bagi tempoh sembilan bulan berjumlah RM15.2 juta, terdiri daripada kos kakitangan, perbelanjaan penyenaraian dan pembayaran cukai perkhidmatan, manakala pendapatan lain terutamanya daripada faedah simpanan tetap dan keuntungan pertukaran asing.
Bagi tempoh sembilan bulan, sumbangan daripada segmen pembekalan dan integrasi peranti perubatan adalah RM77.6 juta, manakala pembekalan peralatan perubatan menyumbang RM28.7 juta, dan pembekalan produk dan perkhidmatan berkaitan sebanyak RM16.6 juta.
Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim RM5 juta bagi tempoh berakhir 30 Jun 2025, yang dibayar pada 28 Julai 2025, sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi kewangan dan aliran tunai syarikat.
LAC Med berkata, setakat 30 November 2025, syarikat mempunyai tempahan pesanan tertunggak bernilai RM190.8 juta, berdasarkan nilai kontrak yang belum ditagih, mencerminkan permintaan kukuh terhadap peranti dan peralatan perubatan daripada sektor awam dan swasta.
“Syarikat turut merancang pengembangan operasi di Indonesia, bagi memanfaatkan pertumbuhan perbelanjaan kesihatan dan peningkatan jaringan fasiliti kesihatan di negara itu.
“Hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM55.6 juta, syarikat merancang menggunakan dana bagi menampung perbelanjaan modal, pengembangan perniagaan di Indonesia, pembiayaan modal kerja serta pembayaran balik pinjaman bank,” katanya.
LAC Med dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Disember 2025, menandakan langkah penting syarikat dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran perubatan dan kesihatan domestik serta serantau.
Firma itu kekal optimis terhadap prospek kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2026, disokong oleh permintaan berterusan untuk peranti perubatan, peningkatan pelaburan kerajaan dalam infrastruktur kesihatan, serta pertumbuhan sektor pelancongan perubatan dan populasi warga emas.
LAC Med tidak menghadapi sebarang litigasi material dan tiada komitmen modal atau liabiliti yang signifikan pada 30 September 2025, menambah keyakinan terhadap kestabilan kewangan syarikat. - DagangNews.com

