Swift Energy, Gutor bekerjasama bangunkan produk bekalan kuasa kalis letupan

LocalBusiness & Finance
8 Dec 2025 • 5:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Swift Energy, Gutor bekerjasama bangunkan produk bekalan kuasa kalis letupan
image is not available
liza08/12/2025 - 17:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Dis – Swift Energy Technology Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gutor Electronic Asia Pacific Sdn Bhd untuk membangunkan produk bekalan kuasa tidak terganggu (UPS) yang kalis letupan atau EX-rated UPS bagi memastikan keselamatan di kawasan berisiko.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Swift Energy berkata, projek itu melibatkan penggabungan sistem pengecas bateri Gutor ke dalam kotak perlindungan kalis letupan milik Swift Energy. 

 

“Kerjasama ini merangkumi semua fasa pembangunan produk, dari reka bentuk, pengujian, hingga pengkomersialan untuk menghasilkan produk yang selamat dan berkesan.

 

“MoU ini berkuat kuasa selama satu tahun atau sehingga perjanjian rasmi yang sah ditandatangani atau mana-mana yang lebih awal. 

 

“Mana-mana pihak juga boleh menarik diri dengan notis bertulis 30 hari tanpa sebarang liabiliti kewangan, kecuali bagi perkara kerahsiaan, kos, dan undang-undang,” kata syarikat itu dalam makluman tersebut.

 

Swift Energy menegaskan MoU ini tidak melibatkan penerbitan saham baharu dan dijangka tidak memberi kesan material terhadap keuntungan atau pendapatan sesaham syarikat pada tahap ini. 

 

Kejayaan kewangan bergantung kepada hasil penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan produk EX-rated UPS pada masa hadapan.

 

Lembaga Pengarah Swift Energy berpendapat bahawa MoU ini adalah selaras dengan strategi syarikat dan berpotensi memberikan kelebihan kompetitif serta membolehkan Swift Energy menawarkan penyelesaian unik dalam pasaran UPS kalis letupan. - DagangNews.com

Terkini standard