KUANTAN – Bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan kru asing terus dikesan melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di luar jarak yang dibenarkan, walaupun tindakan tegas diambil secara berterusan.
Terbaharu, sebuah bot nelayan tempatan kelas C tersebut ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah di perairan negeri ini awal pagi Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot tersebut ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan Op Makmur dan Op Tiris di perairan Kuala Pahang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot mencurigakan itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 6.5 batu nautika tenggara Tanjung Agas, kurang daripada jarak yang dibenarkan.
“Hasil pemeriksaan, bot berkenaan dikendalikan tujuh kru warga Vietnam termasuk tekong berusia 26 hingga 58 tahun.
“Kesemua mereka disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Mazlan berkata, semua kru bersama bot dan hasil laut dianggarkan seberat 200 kilogram dibawa ke Jeti PERNEPA Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan serta aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah di perairan negara,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.



