
GEORGE TOWN – Belum reda kejadian tanah runtuh di Paya Terubong, satu lagi insiden sama berlaku berhampiran sebuah kondominium di Jalan Tanjung Tokong di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan dua buah kereta, masing-masing jenis BMW dan Honda City telah tertimbus dalam runtuhan tanah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi kejadian pada pukul 7 malam.
“Insiden melibatkan tanah runtuh yang menimbus dua buah kenderaan iaitu BMW dan Honda City yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya di sini, malam tadi.
Jelasnya, pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah membuat pemantauan secara visual pergerakan tanah bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta memasang sawar-sawar bagi keselamatan persekitaran lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pass pukul 8.01 malam tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang warga emas ditemukan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di kediamannya di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa, Dr Wong Kar Lin, 73, ditemukan di bahagian dapur rumahnya selepas dipercayai dihempap struktur konkrit dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE
The post Lagi kejadian tanah runtuh, kali ini di Tanjung Tokong appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Rantai leher emas diragut ketika beli barang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-25-at-7.36.06-PM-e1792930995723-1024x883.jpeg)


