Lagi kes kanak-kanak diserang anjing liar: Alif keluar beli ubat, hanya 200 meter dari rumah

13 Oct 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lagi kes kanak-kanak diserang anjing liar: Alif keluar beli ubat, hanya 200 meter dari rumah
Keadaan kaki Alif yang cedera akibat digit anjing liar di Kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai, Iskandar Puteri.
Image from: Lagi kes kanak-kanak diserang anjing liar: Alif keluar beli ubat, hanya 200 meter dari rumah
Norliza membersihkan kesan luka pada kaki Alif yang cedera akibat digigit anjing liar di kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai, Iskandar Puteri.
Image from: Lagi kes kanak-kanak diserang anjing liar: Alif keluar beli ubat, hanya 200 meter dari rumah
Alif bersama ibunya menunjukkan keadaan kaki yang cedera selepas digigit anjing liar.

ISKANDAR PUTERI – Hasrat seorang remaja lelaki membeli ubat untuk adiknya yang demam bertukar detik cemas apabila dia diserang anjing liar di Kawasan Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai di sini, pada awal pagi Isnin.

Mohammad Alif Najmi Mohd Razi, 15, berkata, dia tidak menyangka perjalanan singkat ke kedai runcit kira-kira 200 meter dari rumahnya itu berakhir dengan kecederaan apabila seekor anjing menerkam dan menggigit kaki kirinya.

“Saya perasan ada beberapa ekor anjing mengekori saya. Saya terus lari, tetapi ada seekor anjing menerkam saya dari belakang dan menggigit kaki kiri.

“Saya terus menendang anjing itu sekuat hati sebelum bangun dan berlari ke tingkat atas sambil menjerit meminta tolong. Mujur ada penduduk yang mendengar jeritan saya dan membantu,” katanya.

**media[3676702]**

Ibunya Norazila Abdul Salam, 44, memberitahu dia mula bimbang apabila anaknya tidak pulang seperti kebiasaan selepas keluar membeli ubat untuk adiknya yang demam pada awal pagi.

“Biasanya kalau turun membeli barang, tak sampai lima minit sudah pulang. Tetapi kali ini saya tunggu lama dan tertanya-tanya kenapa dia tak sampai-sampai.

“Kemudian, kawan dia beritahu Alif digigit anjing dan dihantar pulang. Saya terkejut apabila melihat kakinya berdarah teruk,” katanya yang juga ibu tunggal.

**media[3676690]**

Norliza yang juga pekerja pembersihan cuba menghentikan pendarahan menggunakan tisu, namun darah terus mengalir kerana luka pada kaki anaknya.

Katanya, Alif yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu menerima suntikan dan rawatan bagi mengurangkan kesakitan.

“Jika masih tidak pulih, dia perlu dirujuk ke hospital.

“Sekarang keadaan kakinya nampak sedikit berkurangan, tetapi bengkak masih belum hilang sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Norazila berkata, dia turut dimaklumkan mengenai seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai diserang anjing liar pada hari sama.

“Saya memang risau, bukan sahaja terhadap anak sendiri, tetapi juga anak-anak orang lain yang keluar pada waktu petang atau malam untuk menghadiri kelas tambahan.

“Sekarang setiap kali anak-anak hendak turun, saya pesan supaya berhati-hati dan jangan keluar kerana takut digigit anjing liar,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved