Lima anjing liar ditangkap selepas kanak-kanak diserang

13 Oct 2026 • 6:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima anjing liar ditangkap selepas kanak-kanak diserang

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melakukan langkah drastik menangkap lima ekor anjing liar menerusi operasi yang dijalankan susulan kejadian serangan anjing terhadap dua kanak-kanak di kawasan Lima Kedai, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, operasi menangkap anjing liar itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak di kawasan dan taman perumahan perumahan.

Menurutnya, beliau memandang serius kejadian berkenaan selepas menerima makluman daripada Ketua Kampung Lima Kedai mengenai dua insiden melibatkan kanak-kanak yang dikejar dan diserang anjing pada hari sama.

“Dua kejadian berlaku pada petang semalam. Seorang kanak-kanak dikejar lapan ekor anjing dan mengalami kecederaan pada kaki serta jari.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, seorang lagi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun dikerumuni enam ekor anjing sehingga mengalami kecederaan pada leher, mata dan badan,” katanya ketika ditemui dalam operasi menangkap anjing berkenaan di Lima Kedai di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak kedua itu bernasib baik apabila seorang penduduk bertindak membaling batu ke arah anjing berkenaan sehingga haiwan itu melarikan diri.

Katanya, kejadian tersebut membuktikan isu anjing liar tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengancam keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak yang bermain di kawasan perumahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MBIP mengambil tindakan tegas dan melaksanakan operasi secara berterusan bagi menangani masalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan pentadbirannya.

“Saya menggesa PBT menubuhkan pasukan khas untuk menangani masalah ini supaya keselamatan dan ketenteraman masyarakat terjamin.

“Jangan sekadar menangkap anjing di satu kawasan dan memindahkannya ke kawasan lain kerana tindakan itu tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama pemilik anjing supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran sehingga mengganggu atau membahayakan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Pandak berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memastikan syarat pelesenan pemeliharaan anjing dipatuhi, termasuk mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.

Beliau berkata, kebajikan haiwan perlu diberikan perhatian, namun keselamatan orang ramai juga mesti diutamakan bagi memastikan keharmonian komuniti setempat.-KOSMO! ONLINE

The post Lima anjing liar ditangkap selepas kanak-kanak diserang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved