Lagi Pemandu Positif Dadah, 3 Beranak Maut Motosikal Dirempuh SUV

29 Jul 2026 • 8:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lagi Pemandu Positif Dadah, 3 Beranak Maut Motosikal Dirempuh SUV

KUALA LUMPUR - Kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk atau positif dadah terus berleluasa, walaupun hukuman berat menanti mereka yang terlibat.

Terbaru, tiga sekeluarga maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), disyaki dipandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, nahas terbabit berlaku di Jalan Batu 17, Hulu Langat hari ini.

Menurut beliau, motosikal dinaiki ketiga-tiga mangsa dirempuh sebuah Perodua Aruz ketika melalui lokasi kejadian pada jam 7.56 pagi.

“Mangsa terdiri daripada mekanik berusia 34 tahun, isterinya (32), dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Jelas Naazron, siasatan mendapati keluarga malang itu sedang dalam perjalanan ke Nanding, dari rumah mereka di Batu 18.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Aruz dipandu lelaki tempatan memasuki laluan mangsa sebelum merempuh keluarga terbabit. 

“Semua mangsa tercampak akibat rempuhan itu dan meninggal dunia di kawasan kemalangan akibat kecederaan parah,” katanya. 

Getaran difahamkan, ujian air kencing mendapati pemandu SUV berkenaan bukan sahaja positif dadah jenis methamphetamine, malah dia juga memiliki dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

Naazron memberitahu, suspek yang berusia 42 tahun itu telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang esok bagi mendapatkan permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah selain siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan," katanya. - Getaran, 29 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved