
SANDAKAN: Sebuah rumah kayu atas air di Jambatan 1 Kampung Sim-Sim roboh, awal pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.57 pagi.
“Difahamkan rumah kayu berkeluasan 40x30 kaki persegi tersebut tidak berpenghuni dan tiang rumah itu juga didapati telah reput,” jelasnya, menambah tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Polis turut hadir di lokasi kejadian.
Jimmy berkata, pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 3 pagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung turut melawat lokasi kejadian bersama setiausahanya, Liau Fui Fui yang juga Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd.
Hasil lawatan, pihaknya mendapati rumah bersebelahan turut terjejas apabila sebahagian strukturnya rebah sehingga menyebabkan laluan koridor menjadi senget dan berisiko tinggi kepada keselamatan penduduk.
Frankie juga menyalurkan sumbangan kewangan segera kepada pemilik rumah terjejas bagi tujuan pembaikan dan pemulihan struktur.
Ini bagi mengelakkan kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.
Beliau turut memberikan sumbangan bagi menampung kos pengangkutan serpihan rumah roboh itu ke daratan, serta keperluan lain termasuk minuman kepada sukarelawan yang membantu dalam proses pembongkaran struktur rumah terjejas.
Frankie juga menyeru penduduk kampung sentiasa peka terhadap keadaan struktur kediaman masing-masing, terutamanya di kawasan atas air yang berisiko tinggi.
Jelasnya, kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan juga akan terus memantau keadaan keselamatan di kawasan berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya demi kesejahteraan rakyat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan turut ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada penduduk.
Pihak APM turut difahamkan rumah itu sudah tidak diduduki sejak empat tahun lepas oleh pemiliknya dan dalam proses baikpulih.
Dua minggu lepas, sebuah rumah runtuh di Jambatan 18 di kampung yang sama.

