
BESUT: Ujian saringan dadah terhadap juruterbang di setiap syarikat penerbangan perlu dilaksanakan sepertimana sektor pengangkutan awam lain.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) , Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah proaktif itu wajar dilaksanakan susulan insiden penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan di Indonesia baru-baru ini.
Katanya, AADK menyokong penuh langkah Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines (MAS) dan perkara sama perlu dilakukan oleh syarikat penerbangan lain.
“Kita sedia maklum tindakan tegas perlu diambil yang mana selama ini kita hanya mengambil tindakan kepada pemandu jalan raya, pemandu persendirian dan pemandu bas.
“Tetapi pendekatan ini kita luaskan lagi, dan insya-Allah kami bersedia bekerjasama dengan MAG pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pada program Sekolah Angkat Malaysia Madani di Felda Tenang di sini, hari ini.
Menurut Ruslin, tindakan MAG memperketat prosedur kawalan keselamatan dan memperluas program saringan dadah mandatori kepada semua juruterbang serta kru kabin aktif mencerminkan komitmen tinggi terhadap penyalahgunaan serta penyeludupan dadah.
Ujarnya, pihaknya juga bersedia bekerjasama ketika proses saringan dadah malah menyediakan kepakaran dalam bentuk khidmat nasihat, latihan modul ujian saringan serta latihan pencegahan bagi menyokong pelaksanaan saringan dadah di MAG.
Beliau berkata, keselamatan pengangkutan awam khususnya sektor penerbangan tidak boleh dikompromi sama sekali.
“AADK memandang serius penglibatan mana-mana individu dalam aktiviti penyalahgunaan atau penyeludupan dadah, terutama dalam industri kritikal seperti penerbangan yang memikul tanggungjawab besar terhadap keselamatan nyawa ribuan penumpang,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya juga telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan iaitu pada Disember 2025 bagi kru penerbangan AirAsia, manakala pada April 2026 bagi kru penerbangan Malaysia Airlines.
Katanya, dengan isu penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan berkenaan di Indonesia baru-baru ini, pihak penguatkuasa perlu mempergiat kerjasama dengan syarikat penerbangan di negara ini sekali gus melaksanakan program tempat kerja bebas dadah.
Terdahulu, Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines serta akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat ke atas semua juruterbang aktif sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.
Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd itu memulakan proses saringan terhadap juruterbang di bawah kumpulan penerbangannya, yang dijangka selesai pada 15 Ogos, 2026. – UTUSAN
The post Laksana ujian saringan dadah menyeluruh di syarikat penerbangan – AADK appeared first on Utusan Malaysia.





