
BESUT – Kadar penyalahgunaan dadah di Terengganu yang sebelum ini antara paling serius di negara ini telah menurun 7.2 peratus pada suku pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 7,582 orang penagih dadah dicatatkan di Terengganu pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding 8,184 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan itu disumbang oleh pengurangan penagih sebanyak 20.6 peratus di daerah ini, Setiu (-16.5 peratus), Kemaman (-11.8 peratus), Marang (-11 peratus), Kuala Terengganu (-3.1 peratus), dan Hulu Terengganu (-1.3 peratus).
“Begitupun kadar penagihan dadah di Dungun pula meningkat 8.4 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani AADK di Felda Tenang di sini.
Bagaimanapun Ruslin menegaskan penurunan tersebut hanyalah permulaaan kerana banyak isu penyalahgunaan dadah yang masih perlu ditangani di Terengganu.
“Antaranya peningkatan penagihan dalam kanak-kanak dan remaja berusia semuda 10 hingga 14 tahun pada suku pertama tahun ini.
“Penagih dalam kalangan kanak-kanak itu meningkat 16.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penagih dadah Terengganu turun 7.2 peratus appeared first on Kosmo Digital.






