Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang lelaki diarahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini selepas mengaku bersalah terbabit dalam amalan ritual agama bukan Islam.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mohd. Faizal Habib selepas tertuduh, Aliff Daniel Adli, 21, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Aliff didakwa melakukan pemujaan salah dengan menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan, serta berlutut dengan kedua-dua tangan dirapatkan ke dada di hadapan patung. Perbuatan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves antara pukul 9 hingga 11 malam pada 24 Januari 2024.
Artikel berkaitan: “Ini soal akidah, tanya keimanan korang” – Individu Dakwa Sejadah Naelofar Ada Corak Kepala Kambing
Artikel berkaitan: “Polis tak akan tolak ansur” – Perak Larang Jual & Guna Minuman Keras Di Lokasi Sambutan Thaipusam

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000, penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Mohd. Faizal menasihatkan pemuda itu supaya bertaubat nasuha serta mengingatkannya agar tidak mensia-siakan usia muda dengan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.
“Kesalahan yang kamu lakukan ini, bukan sekadar kesalahan yang lazim dilakukan dalam kesalahan-kesalahan jenayah. Ini melibatkan akidah, melibatkan tauhid kamu sebagai seorang Islam. Mahkamah menasihatkan kamu untuk bertaubat, taubat yang sebenar-benar taubat yang disebut sebagai taubat nasuha.
Di usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang perlu kamu lihat daripada perkara-perkara yang tidak sewajarnya, dalam konteks kamu sebagai seorang yang beragama Islam,” ujar beliau.
Susulan sabitan itu, mahkamah memerintahkan Aliff Daniel menjalani tempoh pemulihan selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman berkuat kuasa hari ini, berpandukan peruntukan Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang dicadangkan oleh Pendakwa Syarie, Zamniazura Mohd. Sarin.
Terdahulu, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum serta memberikan bimbingan agama, di samping menegaskan bahawa dia sudah bertaubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut atas alasan perlu menanggung keluarga.
“Saya perlu menjaga ibu dan adik. Saya seorang sahaja lelaki yang boleh menjaga ibu selepas pembedahan. Saya juga ada masalah kesihatan.
Saya juga nak menyatakan di sini, yang saya memang sudah tidak melakukan benda-benda yang menentang hukum syarak dan syirik ini,” rayunya.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 Februari 2027 bagi sebutan semula kes untuk meneliti laporan perkembangan pemulihan tertuduh.
Sumber: Kosmo!
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






