
SHAH ALAM, 7 OKT: Laluan pejalan kaki khusus antara lot komersial serta platform lintasan dilengkapi susur tangan dicadang dibina di Pusat Komersial SS2, Petaling Jaya bagi meningkatkan keselamatan pengunjung terutama warga emas.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Loh Y Lun berkata kawasan itu mempunyai empat barisan lot komersial dengan majoriti pengunjung terdiri daripada warga emas, selain pernah berlaku kes individu terjatuh ke dalam longkang ketika berjalan menuju deretan kedai.
“Kami sedang mencadangkan pengecatan laluan pejalan kaki khusus antara lot tersebut untuk memudahkan dan menjamin keselamatan lintasan. Selain itu, terdapat kes di mana warga emas yang meletakkan kenderaan telah terjatuh ke dalam longkang ketika berjalan menuju ke arah deretan kedai.
“Saya telah mengusulkan kepada jabatan untuk membina platform lintasan yang dilengkapi dengan susur tangan bagi mengelakkan insiden ini berulang,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata isu itu antara kelemahan akses pejalan kaki yang dikenal pasti ketika rangkaian laluan selamat dan ketersambungan pejalan kaki di Petaling Jaya masih belum mencukupi.
Menurutnya, masalah turut dikenal pasti di Jalan SS2/24 dan SS2/55 apabila pertumbuhan akar pokok matang memecahkan laluan pejalan kaki, menyebabkan dua sesi lawatan tapak diadakan bagi mencari penyelesaian tanpa menebang pokok sihat.
Jabatan teknikal majlis itu kemudian mencadangkan pengubahsuaian laluan bagi membolehkan akses selamat kepada pejalan kaki di samping memelihara pokok berkenaan.
Dalam pada itu, Loh berkata aspek keselamatan turut juga diberikan perhatian di laluan antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman SEA dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Bahagia yang mempunyai risiko kemalangan tinggi antara kenderaan dan pelajar.
“Walaupun zon sekolah mengehadkan kelajuan kepada 30 kilometer sejam, pemerhatian kami mendapati purata kelajuan kenderaan mencecah 76 kilometer sejam.
“Sebagai penyelesaian jangka pendek, kami telah menebalkan bonggol kelajuan sedia ada dan memasang lampu isyarat pejalan kaki,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau berkata peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diperoleh bagi membina laluan pejalan kaki dan lebih banyak 'raised crossing', yang dijangka siap akhir tahun ini.
Untuk rekod pada Julai lalu, kawasan SMK Taman SEA dipilih sebagai lokasi projek perintis Safer School Streets susulan kajian mobiliti yang mendapati aliran pejalan kaki tinggi namun tahap keselamatan masih membimbangkan.
Sekolah yang mempunyai lebih 1,300 pelajar itu terletak kira-kira 500 meter dari Stesen LRT Taman Bahagia, menjadikannya antara koridor 'First Mile Last Mile' paling aktif di Petaling Jaya.

