
Kota Kinabalu: Mayor Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan terus melaksanaan penundaan kereta yang menghalang jalan raya dan laluan pejalan kaki sebagai langkah terakhir, dengan mengatakan parkir di pusat bandar adalah mencukupi dan pengguna mesti menggunakan parkir yang sah.
“DBKK komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten,” katanya dan menggesa orang ramai supaya mematuhi peraturan parkir demi bandaraya yang teratur, selamat dan selesa.
Katanya dalam kenyataan pada Ahad, DBKK melaksanakan penguatkuasaan parkir termasuk penundaan kenderaan bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki bebas daripada halangan serta menjaga keselamatan awam.
Beliau berkata parkir berganda dan tindakan menghalang lalu lintas menjejaskan pengguna lain serta menyebabkan kesesakan. Kawasan yang sering menerima aduan termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam Safma.
Katanya, kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera apabila kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu.
“Sebelum penundaan, anggota penguatkuasa memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan. Jika arahan tidak dipatuhi, penundaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir untuk membuka semula laluan,” katanya.
Katanya kemudahan parkir di pusat bandar secara keseluruhannya mencukupi dengan terdapat 20,000 jumlah petak parkir yang merangkumi 4,005 petak parkir awam.
KK Plaza mempunyai 452 petak dengan kadar RM1 sejam dan Menara Jubili mempunyai 276 petak dengan kadar sama. The Shore mempunyai 700 petak, Wisma Merdeka 750, Warisan Square 500, dan Oceanus 800.
Beliau menggesa orang ramai menggunakan parkir yang sah dan merancang perjalanan dengan mengatakan keinginan meletakkan kenderaan berhampiran destinasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan.
Rekod DBKK menunjukkan sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai kompaun terdahulu yang belum diselesaikan, dalam sesetengah kes mencecah 200 kompaun dengan nilai terkumpul sehingga RM40,000. Ini menunjukkan terdapat kesalahan berulang dan tanggungan yang terkumpul.
Pemilik diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan. Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan.
Katanya, DBKK tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir meskipun undang-undang kecil berkenaan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur.
Lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan dan penggunaan ruang awam.
Sebarang pertanyaan mengenai penundaan, rekod kompaun, permohonan ansuran atau tuntutan kenderaan boleh dirujuk terus kepada Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk penjelasan berdasarkan rekod kes masing-masing.






