Laluan laut Tak Bai antara laluan utama PATI masuk Kelantan

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 3:55 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laluan laut Tak Bai antara laluan utama PATI masuk Kelantan

KOTA BHARU, 22 SEPT: Laluan laut dari Tak Bai, Thailand kini dikenal pasti antara laluan utama kemasukan pendatang tanpa izin ke Kelantan berbanding sempadan Sungai Golok, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata berdasarkan tangkapan yang dibuat setakat ini, pendatang berkenaan dikesan memasuki negara melalui laluan laut dari Tak Bai sebelum menggunakan Sungai Kelantan.

“Polis kini meningkatkan pemantauan terhadap laluan laut berkenaan, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang aktiviti kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kemasukan pendatang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata pihaknya turut menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kawalan keselamatan di sempadan darat bagaimanapun kekal diperkukuh dengan penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata sebanyak 96 jeti telah dirobohkan dalam usaha memperkukuh kawalan di kawasan sempadan manakala tindakan akan diambil terhadap sebarang pembinaan struktur baharu yang berpotensi menjejaskan kawalan.

“Kalau kami dapati ada yang buat struktur baharu, kami akan robohkan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata pemantauan turut dilakukan di kawasan tertentu yang sebelum ini mempunyai akses melalui tebing sungai, termasuk lokasi yang tidak mempunyai binaan jeti tetapi menggunakan laluan sedia ada.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar atau pendatang yang disyaki melakukan kesalahan, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Tindakan sedemikian boleh mencetuskan pergaduhan atau kejadian tidak diingini, selain menyukarkan usaha penguatkuasaan. Kami masih mampu menangani apa jua jenayah dan isu sempadan ini. Jadi, laporkan kepada kami dan biar pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved