
LUMUT: Polis Perak mencadangkan penubuhan sekurang-kurangnya 10 pos kawalan tetap di sepanjang 158 kilometer (KM) pesisir pantai negeri ini bagi memperketat kawalan sempadan negara sekali gus membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kegiatan penyeludupan.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, cadangan itu membabitkan empat daerah polis iaitu Bagan Datuk, Manjung, Taiping dan Kerian, meliputi kawasan pesisir pantai dari Bagan Datuk hingga sempadan Perak-Pulau Pinang.
Katanya, cadangan itu dibuat susulan penilaian menyeluruh terhadap faktor geografi pesisir pantai negeri ini yang panjang dan mempunyai banyak kawasan terpencil.
“Kita melihat banyak kemasukan PATI melalui jalan laut membabitkan warga asing. Mungkin apabila pos-pos kekal yang kerajaan bina di negeri-negeri selatan Perak sudah cukup kukuh, mereka masuk pula melalui Perak.
“Untuk rekod, percubaan masuk dan keluar yang kita kesan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini adalah seramai 473 orang.
“Ini yang kita dapat kesan dan tangkap, mungkin ada yang terlepas tanpa dapat dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.
Menurut Mohammad Azlin, keadaan itu membimbangkan kerana pesisir pantai bukan sahaja berpotensi digunakan untuk kemasukan PATI, malah turut menjadi laluan bagi aktiviti penyeludupan kontraban, pemerdagangan manusia dan dadah.
Beliau berkata, kemasukan secara haram melalui perairan pesisir pantai Perak meningkat dengan ketara sejak penambahan pos tetap Pasukan Gerakan Am (PGA) di Selangor disiapkan pada 2024.
“Perbandingan jumlah pos PGA di Selangor ialah sebanyak 20 pos kekal manakala Johor mempunyai 22 pos berbanding Perak hanya satu pos kekal untuk jarak pesisir pantai sepanjang 158 kilometer.
“Disebabkan kawalan ketat di dua negeri di selatan itu, kita percaya laluan di negeri Perak menjadi semakin popular untuk kemasukan pendatang asing mahupun aktiviti lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa siri mesyuarat diadakan bagi mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk dijadikan pos kawalan kekal dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak.
Katanya, langkah itu penting bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada petugas, khususnya PGA yang menjalankan operasi kawalan dan membanteras kegiatan penyeludupan di sepanjang pesisir pantai.
“Kalau pos kawalan kekal ada, insya-Allah ia akan memberikan keselesaan kepada semua petugas terutamanya PGA dalam menjalankan tugas kawalan dan menangani isu penyeludupan,” katanya.
Tambah beliau, lokasi pos yang dicadangkan akan ditentukan berdasarkan risikan, rekod tangkapan dan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kemasukan. – UTUSAN
The post Polis Perak cadang 10 pos tetap PGA kawal pesisir pantai appeared first on Utusan Malaysia.






