Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan perlu lebih selamat

18 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan perlu lebih selamat

SAYA ingin mengetengahkan perkembangan berkaitan keselesaan dan keselamatan laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan yang sekian lama menjadi rungutan dalam kalangan penunggang.

Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan merupakan antara laluan tertua dan terpanjang di Malaysia.

Dibina pada 1970-an, laluan ini menghubungkan Klang dengan Kuala Lumpur melalui beberapa kawasan penting termasuk Shah Alam, Sunway, Kelana Jaya dan Petaling Jaya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini memberi perhatian terhadap keadaan laluan berkenaan menerusi pengumuman projek naik taraf bernilai RM20 juta yang dijangka siap pada Ogos tahun hadapan.

Menurut kenyataan beliau, projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu masih dalam pelaksanaan dan kini mencapai kemajuan sekitar 43 peratus.

Sebahagian laluan juga menunjukkan perubahan apabila kerja mengecat terowong serta pemasangan lampu dilaksanakan, sekali gus memperbaiki keadaan kawasan yang sebelum ini gelap.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan perhatian segera.

Keadaan ini penting untuk ditangani bagi memastikan kerja naik taraf bukan sekadar memperbaiki rupa fizikal laluan, sebaliknya benar-benar menjamin keselamatan dan keselesaan lebih 30,000 pengguna yang menggunakannya setiap hari bekerja.

Antara lokasi yang perlu diberi perhatian ialah laluan terowong motosikal berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Keadaan sebahagian penutup longkang yang tidak tersedia boleh mengundang risiko kepada penunggang, khususnya ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam atau dalam keadaan jarak penglihatan terhad.

Sehubungan itu, pihak kontraktor dan agensi berkaitan wajar memastikan semua kerja penyelenggaraan serta pembaikan dilaksanakan secara menyeluruh.

Setiap kerosakan yang masih terdapat di laluan berkenaan perlu dikenal pasti dan diperbaiki supaya usaha menaik taraf benar-benar memberi manfaat kepada pengguna.

Keselamatan penunggang motosikal tidak seharusnya bergantung pada keadaan jalan semata-mata.

Laluan yang baik, terang, bersih dan diselenggara secara berkala merupakan keperluan asas bagi memastikan perjalanan harian mereka lebih selamat dan selesa. – UTUSAN

SHAHRUL MOHD. ZAIN
Kuala Lumpur

The post Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan perlu lebih selamat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved