Laluan pejalan kaki stesen LRT3 sekitar Shah Alam siap hujung tahun

29 Jul 2026 • 10:40 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laluan pejalan kaki stesen LRT3 sekitar Shah Alam siap hujung tahun

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerja pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan beberapa Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di sekitar Shah Alam giat dilaksanakan dan dijangka siap hujung tahun ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar berkata, projek itu membabitkan empat stesen utama iaitu Stesen Dato’ Menteri, Stesen Seksyen 7, Stesen UiTM dan Stesen Stadium bagi meningkatkan akses orang ramai ke pengangkutan awam.

Menurut beliau, lima laluan pejalan kaki dibina oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), manakala beberapa laluan lain dilaksanakan melalui kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Management & Science University (MSU), Starhill Century Sdn Bhd serta pemaju lain.

“Secara keseluruhannya, projek laluan pejalan kaki ini dijangka siap hujung tahun ini bagi memudahkan orang ramai berjalan dengan lebih selamat dan selesa ke stesen LRT3,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBSA semalam.

Image from: Laluan pejalan kaki stesen LRT3 sekitar Shah Alam siap hujung tahun
Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Zabidah Safar ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Perbandaran MBSA pada 28 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, MBSA memperuntukkan kira-kira RM2.7 juta bagi melaksanakan projek di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan itu, manakala sebahagian lagi kos pembinaan ditanggung syarikat dan agensi terbabit.

Di Stesen Dato’ Menteri, MBSA membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 550 meter di Persiaran Bandar Raya, Jalan 14/1 dan 14/8, selain laluan tambahan yang dibangunkan Prasarana, Angkasa Sdn Bhd dan Starhill Century Sdn Bhd.

Bagi Stesen Seksyen 7 pula, MBSA membina laluan sepanjang 300 meter yang menghubungkan stesen itu ke Hospital Shah Alam, manakala Prasarana menyediakan laluan berbumbung sepanjang 270 meter ke Pasaraya Giant.

Di Stesen UiTM, MBSA membina laluan pejalan kaki sepanjang 1.13 kilometer yang menghubungkan stesen berkenaan ke Sekolah Agama di Persiaran Selangor termasuk laluan berbumbung di kawasan berhampiran.

Sementara itu, di Stesen Stadium, pembinaan melibatkan laluan berbumbung sepanjang 140 meter dan 200 meter oleh MBSA, selain laluan sepanjang 330 meter oleh PKNS serta sambungan laluan pejalan kaki ke pintu pagar MSU.

Isu laluan pejalan kaki ke beberapa stesen LRT3 sebelum ini mendapat perhatian selepas pengguna media sosial berkongsi keadaan akses yang didakwa masih belum mesra pejalan kaki dan kurang selamat selepas LRT3 beroperasi pada 29 Jun lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved