
SEBERANG PERAI – Sebuah supercar jenis Lamborghini Huracan bernilai lebih RM1 juta antara 11 kenderaan mewah yang disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Operasi Luxury yang dilakukan di sekitar negeri ini, Rabu lalu.
Tindakan menyita semua kenderaan itu dibuat selepas Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan didapati telah tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.
JPJ Pulau Pinang berkata, operasi pada 3 September lalu itu turut mengesan kegagalan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan sehingga menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan dianggarkan melebihi RM20,000.
“Antara yang mencuri tumpuan adalah supercar Lamborghini Huracan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta. Pemeriksaan mendapati kereta itu dipandu dengan cukai jalan tamat tempoh sejak Jun lalu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, kadar cukai jalan bagi kenderaan mewah berspesifikasi tinggi seperti Lamborghini Huracan mencecah RM12,000.
JPJ Pulau Pinang berkata, nilai dan status sesebuah kenderaan bukan alasan untuk pemiliknya mengabaikan peraturan jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilakukan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu termasuk pemilik kenderaan mewah.
“Pemilik kenderaan turut diingatkan supaya sentiasa memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui serta mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Lamborghini Huracan kena sita, cukai jalan tamat tempoh appeared first on Kosmo Digital.



