
MERSING – Angkatan Tentera (ATM) digesa tidak berasa selesa dengan keupayaan sedia ada dalam menghadapi landskap keselamatan antarabangsa yang kini semakin kompleks dan sukar diramal.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, dinamik geopolitik Indo-Pasifik, isu Laut China Selatan serta persaingan kuasa besar menuntut keupayaan, kesiapsiagaan dan daya tahan pasukan pertahanan negara dipertingkatkan secara berterusan.
“Tindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerup Gerak Khas (GGK) merangkumi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan, serta aset operasi perlu berada pada tahap yang terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa hadapan.
“Justeru itu, saya ingin mengingatkan kepada pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, dan Tentera Darat Malaysia, ini adalah tanggungjawab anda semua,” titah Baginda.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian selaku Wakil Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim merangkap Kolonel Komandan GGK pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun GGK ke-61 di Kem Iskandar, hari ini.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah menggesa pihak kerajaan segala proses pembangunan dan perolehan mesti berasaskan keupayaan, kualiti dan keberkesanan operasi dalam memberi nilai terbaik kepada Rejimen Gerak Khas. -KOSMO! ONLINE
The post Landskap keselamatan makin kompleks, ATM tidak boleh selesa appeared first on Kosmo Digital.





