
SUBANG JAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu terus memperkukuh keupayaan pengawasan, penguatkuasaan dan tindak balas pantas berasaskan teknologi dalam menghadapi landskap keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keupayaan itu penting bagi memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara serta kepentingan rakyat terus dilindungi.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah, senjata dan migran, pemerdagangan orang serta pencerobohan terhadap sumber perikanan negara.
“Selain itu, kegiatan jenayah ekonomi serta ancaman terhadap infrastruktur kritikal maritim turut menjadi antara cabaran keselamatan yang perlu ditangani,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, Malaysia mempunyai Zon Maritim seluas 556,285 kilometer persegi selain berada di laluan perdagangan utama dunia.
Tambahnya, laut bukan sahaja menjadi sempadan negara, malah merupakan nadi kepada perdagangan, industri minyak dan gas, perikanan, pelancongan serta ekonomi negara.
“Sehingga 24 Julai lalu, Maritim Malaysia telah melaksanakan 116,192 pemeriksaan dan 26,253 penggeledahan yang membawa kepada 562 tangkapan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion.
“Bagi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pula, sebanyak 129 kes melibatkan 638 mangsa telah dilaksanakan dalam tempoh sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post APMM perlu perkukuh tindak balas pantas berasaskan teknologi appeared first on Kosmo Digital.






