Malaysia perkukuh aspek pertahanan hadapi isu ketidaktentuan serantau

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 3:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia perkukuh aspek pertahanan hadapi isu ketidaktentuan serantau

PUTRAJAYA – Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan termasuk meningkatkan keupayaan aset dan teknologi bagi menghadapi aspek ketidaktentuan geopolitik serta perubahan landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain itu, kemunculan cabaran baharu seperti ancaman siber dan elektromagnetik serta kempen penyebaran maklumat palsu turut mempengaruhi dasar dan perbelanjaan pertahanan.

“Pertama sekali, saya ingin menegaskan semula bahawa keperluan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan bukan semata-mata didorong oleh perkembangan serantau.

“Terdapat beberapa perkembangan lain yang benar-benar mengubah cara kita melihat dasar dan perbelanjaan pertahanan.

“Ini termasuk kemunculan cabaran seperti ancaman siber dan elektromagnetik serta kempen penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.

“Semua ini memerlukan persediaan yang lebih mencukupi serta peningkatan aset dan keupayaan pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengukuhan keupayaan pertahanan negara memerlukan tambahan peruntukan mencecah bilion ringgit bagi memiliki aset dan keupayaan mencukupi untuk menghadapi perkembangan keselamatan.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, dalam konteks landskap keselamatan serantau, perkara itu perlu dilihat lebih luas iaitu peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan persekitaran keselamatan di rantau ini.

“Bukan bermakna Malaysia secara tiba-tiba melihat mana-mana negara tertentu sebagai ancaman. Kita tidak berbuat demikian.

“Namun, jelas terdapat peningkatan aktiviti dan kehadiran ketenteraan di rantau ini, khususnya apabila persaingan strategik antara kuasa-kuasa besar semakin meningkat.

“Apabila satu pihak meningkatkan kehadiran atau keupayaannya, adalah sesuatu yang semula jadi bagi pihak lain untuk bertindak balas,” katanya.

Jelas beliau, elemen geografi juga merupakan pertimbangan penting bagi Malaysia dalam meningkatkan sebarang keperluan peningkatan aspek pertahanan.

“Perkembangan di sekitar selatan Filipina, termasuk kawasan yang berhampiran dengan Sabah mempunyai kedudukan geografi yang sangat hampir dengan Malaysia.

“Walaupun sesuatu insiden itu tidak melibatkan Malaysia secara langsung, sebarang peningkatan ketegangan di kawasan berhampiran kita boleh memberi implikasi lebih luas terhadap keselamatan negara dan kestabilan di Laut China Selatan,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia juga menghormati hak Filipina seperti mana menghormati negara berdaulat lain untuk menentukan pengaturan dan kerjasama pertahanan sendiri berdasarkan keperluan keselamatan negara itu.

“Itu merupakan keputusan dua hala bagi negara-negara yang terlibat. Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Filipina dan penting untuk kita terus mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka bagi mengurus sebarang kemungkinan salah faham.

“Begitu juga, kita tidak mahu perkembangan di rantau ini dilihat seolah-olah Malaysia memilih satu pihak berbanding pihak yang lain.

“Kebimbangan kita adalah untuk mengekalkan kestabilan serantau dan memastikan persaingan strategik antara kuasa-kuasa besar tidak membawa kepada kesan yang tidak disengajakan terhadap negara ASEAN,” katanya.

Atas sebab itu, katanya, Malaysia perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanannya sendiri.

“Ia bukan ditujukan terhadap Filipina, Amerika Syarikat, China atau mana-mana negara lain. Pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya telah menjadi sebahagian daripada perancangan pertahanan jangka panjang negara.

“Hasrat untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara berperingkat kepada 1.5 peratus daripada KDNK menjelang 2030 juga perlu difahami dalam konteks tersebut,” jelasnya.

Katanya, Malaysianjuga sedang memperkukuh keupayaan di kawasan mempunyai kepentingan strategik termasuk Pulau Layang-Layang.

“Sekali lagi, perkara ini adalah berkaitan pertahanan dan kepentingan nasional, bukannya sebagai tindak balas atau sasaran terhadap mana-mana negara tertentu.

“Pada akhirnya, pendekatan kita mempunyai dua landasan. Kita mesti mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk melindungi kedaulatan dan kepentingan nasional serta pada masa sama terus menggalakkan kestabilan, dialog dan diplomasi,” katanya.

Bagi Laut China Selatan, katanya, Malaysia berharap semua pihak terus mengamalkan sikap berhemah dan mengelakkan tindakan yang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan.

“Kemajuan dalam Kod Tata Kelakuan (COC) juga penting dalam menyediakan persekitaran yang lebih stabil dan boleh dijangka untuk semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia perkukuh aspek pertahanan hadapi isu ketidaktentuan serantau appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved